CGS-CIMB unjur keuntungan TM bagi suku ketiga meningkat antara 8-12% | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur keuntungan TM bagi suku ketiga meningkat antara 8-12%

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Nov - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Telekom Malaysia Bhd. (TM) dengan harga sasaran tidak berubah pada RM7.30 sesaham memandangkan syarikat telekomunikasi itu dijangka mencatatkan prestasi lebih baik pada suku ketiga ini.  

 

Firma itu menjangkakan keuntungan bersih terasnya akan meningkat antara 8 hingga 12% tahun ke tahun kepada RM330 hingga RM340 juta dengan hasil (meningkat antara 9 hingga 12%) dan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih tinggi di sebalik kenaikan kadar Cukai Makmur.

 

Bagi suku ke suku, katanya, keuntungan bersih teras mungkin susut antara 15 hingga 17% berikutan kesan asas yang tinggi kos perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi.

 

"Pendapatan sesaham (EPS) teras bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 boleh membentuk 83 hingga 84% daripada ramalan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) (85-86% daripada konsensus), dan jika ya, ini akan menjejaki 5 hingga 10% lebih awal daripada ramalan tahun penuh kami dan konsensus," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku ketiga, hasil daripada internet dijangka meningkat antara 8 hingga 10% tahun ke tahun manakala 1 hingga 3% bagi suku ke suku. 

 

Penambahan bersih unifi mungkin telah mengurangkan hasil suku ke suku tetapi masih melebihi 100,000 untuk suku kelapan berturut-turut, didorong oleh permintaan struktur kadar 'churn' yang lebih rendah dan pelancaran liputan rangkaian gentian.

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaporkan bahawa 242,000 premis gentian baharu diluluskan pada suku ketiga 2022, melebihi sasaran sebanyak 64% (TM melepasi sasarannya sendiri sebanyak 156%).

 

"Kami menjangkakan  pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) unifi akan mengurangkan kira-kira 2% hasil qoq (susut 3% tahun ke tahun), dicairkan oleh ARPU yang lebih rendah," jelasnya. 

 

Buat masa ini, firma itu tidak membuat sebarang perubahan unjuran bagi FY22, sementara menantikan prestasi kewangan suku ketiga yang akan diumumkan 22 November ini.

 

Setakat 9.07 pagi, harga saham TM susut 8 sen atau 1.47% kepada RM5.36 dengan 35,100 saham diniagakan. - DagangNews.com