CGS-CIMB unjur paras inventori minyak sawit susut 2.5% pada Sept | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur paras inventori minyak sawit susut 2.5% pada Sept

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - CGS-CIMB mengunjurkan paras inventori minyak sawit mentah dijangka susut 2.5% bulan ke bulan kepada 1.83 juta tan metrik setakat akhir September 2021.

 

Bagaimanapun, ia berkembang 5.9% bagi perbandingan tahun ke tahun, menurut firma tersebut. 

 

Hasil tinjauan yang dijalankan CGS-CIMB Future juga mendedahkan pengeluaran minyak sawit mentah berada pada paras 1.73 juta tan metrik pada bulan tersebut, meningkat 1.6% bulan ke bulan tetapi susut 7.4% bagi tahun ke tahun. 

 

"Secara dasarnya, unjuran kami bagi paras inventori minyak di Malaysia pada September juga adalah 14% lebih rendah berbanding paras 10 tahun purata bagi September iaitu 2.14 juta tan metrik. 

 

"Bagi anggaran pengeluaran minyak sawit mentah pula, ia adalah lebih rendah berbanding trend pengeluaran 10 tahun bagi September pada 3.3% bulan ke bulan. 

 

"Malah, anggaran kami untuk pengeluaran pada September juga 5% lebih rendah berbanding purata 10 tahun iaitu 1.83 juta tan metrik bagi September dan 7% lebih rendah bagi tahun ke tahun," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Data rasmi bagi pengeluaran minyak sawit Malaysia akan dikeluarkan pada Isnin, 11 Oktober.

 

Berdasarkan tinjauan firma itu juga menunjukkan pengeluaran bagi ladang kelapa sawit di Malaysia timur melonjak lebih tinggi pada September. 

 

"Anggaran pengeluaran yang lebih rendah dicapai pada September berbanding pengeluaran bagi bulan yang sama sebelum-sebelum ini mencerminkan kekurangan bekalan tenaga buruh asing yang dihadapi syarikat perladangan di Malaysia, masalah pokok tua disebabkan penanaman semula yang perlahan dan input pembajaan lebih rendah akibat isu logistik," katanya. 

 

Sementara itu, CGS-CIMB juga mengunjurkan eksport akan berkembang 39% bulan ke bulan dan 0.3% tahun ke tahun pada September kepada 1.62 juta tan metrik ekoran eksport lebih tinggi ke India, China dan Kesatuan Eropah. 

 

Ini berdasarkan statistik eksport oleh penyelidik kargo, Intertek Testing Services (ITS, +40% bulan ke bulan), SGS (+43.2% bulan ke bulan) dan Amspec Malaysia (+33.6% bulan ke bulan).

 

"Kami menganggap kenaikan eksport ini mungkin sebahagiannya disebabkan pengurangan duti import minyak sawit di India dan peralihan import dari Indonesia ke Malaysia," jelasnya. 

 

Pada 10 September lalu, India mengurangkan asas cukai import ke atas minyak sawit kepada 2.5% daripada 10% dan cukai import minyak sawit bertapis daripada 37.5% kepada 32.5%.

 

Oleh itu, CGS-CIMB menjangkakan harga minyak sawit mentah kekal mendatar bagi bulan ke bulan tetapi meningkat 56% tahun ke tahun kepada RM4,555 satu tan metrik pada September 2021 disebabkan kekangan bekalan minyak boleh dimakan. 

 

Namun, katanya, eksport minyak sawit mungkin terus kekal kukuh pada Oktober sempena sambutan perayaan Diwali. 

 

"Dengan itu, kami mengunjurkan harga minyak sawit mentah masih kekal utuh sekitar RM3,500 hingga RM4,500 satu tan metrik pada Oktober 2021.

 

"Kami turut mengekalkan unjuran harga bagi 2021, 2022 dan 2023 masing-masing pada RM3,700, RM2,900 dan RM2,800 satu tan metrik," tambahnya. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengulangi saranan 'neutral' bagi sektor minyak sawit dengan 3 saham pilihannya, iaitu Kuala Lumpur Kepong Bhd., Genting Plantations Bhd dan Hap Seng Plantations Bhd. dengan ketiga-tiganya diberi saranan 'tambah'. - DagangNews.com