CGS-CIMB unjur prospek positif untuk Yinson bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur prospek positif untuk Yinson bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - CGS-CIMB Research mengunjurkan prospek positif untuk Yinson Berhad bagi FY24 selepas unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Anna Nery mula menerima kadar penyewaan kapal kosong (BBC) bermula minggu ketiga Februari 2023.

 

Firma itu berkata, kadar itu adalah berikutan pengawal selia Brazil menangguhkan kelulusan untuk memulakan operasi lebih daripada 50 hari.

 

Katanya, kumpulan itu akan menerima kelulusan kawal selia dan mencapai minyak pertama mulai April 2023 dan menerima kadar penuh BBC.

 

"Walaupun kos perbelanjaan modal (capex) untuk FPSO Anna Nery berakhir 10% lebih tinggi daripada bajet kumpulan kerana inflasi, syarat kontrak piagam membenarkan mereka meningkatkan kadar BBC kepada Petrobras dengan tambahan AS$50,000/hari.

 

"Kami menjangkakan permulaan piagam masa Anna Nery akan meningkatkan pendapatan kumpulan itu dan mereka akan mendapat hasil menerusi FPSO Agogo bermula 2QFY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan berkenaan mencatatkan peningkatan hasil kepada RM1.9 bilion bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2023 (4QFY23) berbanding RM741 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu berkata, peningkatan itu adalah disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada aktiviti perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) (berdasarkan kemajuan pembinaan).

 

BACA JUGA: Yinson catat peningkatan untung bersih sebanyak 16% kepada RM109 juta bagi 4QFY23

 

Sementara itu, firma itu berkata, loji tenaga solar Nokh di India juga berkemungkinan disambungkan ke grid elektrik pada 2QFY24 dengan pendapatan mula membuahkan hasil.

 

"Kumpulan itu berdepan pelbagai risiko termasuk cabaran pelaksanaan projek selepas kumpulan itu menerima lebih banyak projek FSPO," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM3.68 sesaham. - DagangNews.com