Charon diumumkan sebagai Pengerusi EXIM Bank baharu, ganti Azman Mahmud | DagangNews Skip to main content

Charon diumumkan sebagai Pengerusi EXIM Bank baharu, ganti Azman Mahmud

KUALA LUMPUR 9 Jan - Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) mengumumkan pelantikan Datuk Charon Wardini Mokhzani sebagai Pengerusi berkuat kuasa 8 Januari 2024.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata Charon menggantikan Datuk Azman Mahmud, yang penggalnya berakhir pada hujung tahun lalu.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Arshad Ismail berkata, pengalaman luas Charon akan menjadi aset yang tidak ternilai ketika bank itu melayari landskap perniagaan yang dinamik.

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan Charon untuk memanfaatkan kepakaran beliau, bukan sahaja dalam mengemudi syarikat kami ke tahap baharu tetapi juga meningkatkan peranan EXIM Bank Malaysia sebagai pembangunan institusi kewangan," kata Arshad.

 

Charon merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

 

Peranan kepimpinan lain yang disandangnya termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pengasas Institut Penyelidikan Khazanah, Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Pelaburan CIMB.

 

Charon juga pernah menjadi pengerusi CIMB-Principal Asset Management Bhd (kini Principal Asset Management Bhd) dan rakan pengurusan Zaid Ibrahim & Co.


 

exim

 


Beliau kini berkhidmat dalam lembaga pengarah Yayasan Tuanku Fauziah, Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis serta Kuala Lumpur Business Club dan merupakan ahli lembaga pengarah Universiti Putra Malaysia.

 

Charon juga merupakan seorang Jurubank Bertauliah dan Felo Institut Bank Bertauliah Asia, seorang peguam bela Middle Temple yang tidak membuat amalan dan seorang peguam bela serta peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.

 

"Bimbingan kepimpinan beliau dalam korporat serta ekosistem komersial dan pengetahuan industri pelaburan yang kaya pasti akan meletakkan beliau dalam kedudukan yang baik untuk membimbing bank ke arah yang betul, seiring dengan mandat yang diberikan oleh kerajaan," kata bank itu.- DagangNews.com