Chery Automobile, Sime Darby bekerjasama untuk pemasangan tempatan di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Chery Automobile, Sime Darby bekerjasama untuk pemasangan tempatan di Malaysia

SERDANG 3 Mei - Chery Automobile Co Ltd telah melantik anak syarikat Sime Darby Bhd, Inokom Corp Sdn Bhd, sebagai pemasang tempatan untuk kenderaannya di Malaysia.

 

Pengarah Negara Chery Malaysia, Leo Chen berkata perkongsian dengan Sime Darby itu bertujuan mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran baharu muncul di Asia Tenggara yang menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan. 

 

Chery telah mengeksport lebih daripada 450,000 kenderaan pada 2022.

 

"Ia adalah perkongsian yang sangat mengujakan dan mendebarkan. Ia mencipta pengalaman berharga dalam sektor automotif merentasi rantaian nilai, yang akan menjadikan ini perkongsian hebat untuk berkembang bersama," katanya kepada pemberita di Malaysia Autoshow 2023 di sini hari ini.

 

Dalam laporan Bernama itu, syarikat tersebut menzahirkan matlamatnya mengembangkan segmen pemanduan sebelah kanannya secara agresif di Malaysia tahun ini dan sedang meninjau untuk mempunyai 70 bilik pameran di seluruh negara, di mana 30 daripadanya sedang dalam proses pengubahsuaian.

 

Pemasangan kenderaan Chery secara tempatan dijangka bermula pada suku ketiga 2023 di kemudahan pengeluaran dan pemasangan kenderaan bermotor Sime Darby, Inokom, di Kulim, Kedah yang akan diperluaskan.

 

Dilaporkan bahawa Chery akan mula memasang Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 pada bulan Jun diikuti dengan pelancaran dua model tersebut pada bulan Julai.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata dalam satu kenyataan bahawa kepercayaan diberikan menunjukkan bakat tempatan yang berkelayakan dan berkebolehan tinggi kumpulan itu serta keupayaannya untuk memberikan nilai bermakna kepada rakan kongsi. 

 

 

Datuk Jeffri Salim Davidson
Datuk Jeffri Salim Davidson

 

 

“Kami berharap untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan inovasi berterusan Chery. 

 

Portfolio pemasangan merupakan elemen utama dalam strategi pertumbuhan kami untuk Sime Darby Motors dan perkongsian ini menyokongnya," katanya. -DagangNews.com