China beli banyak kacang soya, jejas permintaan minyak sawit Malaysia | DagangNews Skip to main content

China beli banyak kacang soya, jejas permintaan minyak sawit Malaysia

 

 

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Kenaikan harga minyak sawit dijangka berdepan dengan lebih banyak perubahan pada tahun akan datang memandangkan pengimport utama China membeli lebih banyak kacang soya bagi mengembangkan industri ternakan babi dengan lebih agresif.   

 

Kacang soya yang dihancurkan bukan sahaja dijadikan makanan dan komponen makanan ternakan tetap penghasilan minyaknya, memberi saingan kepada industri minyak sawit dan bahan api bio. 

 

Peningkalan bekalan ini secara tidak langsung menjejaskan pembelian minyak sawit dari China, hanya 2 tahun selepas ia mencapai rekod tinggi apabila perang dagangan Amerika Syarikat (AS) dan China mengekang import kacang soya.

 

Penganalisis di China Futures Co., Shi Lihong berkata, kapasiti bekalan kacang soya yang meningkat akan menggantikan import minyak sawit dan minyak boleh dimakan yang lain.

 

Industri ternakan babi yang kian pulih di China akan meningkatkan permintaan kacang soya antara 8 hingga 10%. 

 

"Ini akan menyaksikan pembelian minyak sawit dari China, pengimport kedua terbesar dunia, akan jatuh ke paras 3 tahun terendah sekitar 2020 hingga 2021," katanya kepada Bloomberg

 

Dalam pasaran global, minyak sawit dijual lebih mahal berbanding minyak kacang soya, diniagakan hampir sama rata pada suku terakhir tahun lalu berbanding pengurangan harga sebelum ini, justeru, dilihat kurang menggalakkan bagi pembeli global.  

 

Penanda aras niaga hadapan minyak sawit meningkat 2 kali ganda daripada paras rendah pada Mei untuk mencecah paras tertinggi 10 tahun bulan ini selepas bekalan semakin menyusut di Malaysia, pengeluar kedua terbesar dunia. 

 

Minyak kacang soya pula meningkat hanya 70% dalam tempoh yang sama. 

 

Menurut Pusat Maklumat Minyak dan Bijirin Kebangsaan China, kenaikan itu memberi tekanan margin kepada pembeli dan mengurangkan import sekitar 400,000 hingga 500,000 tan metrik sebulan bagi suku pertama ini daripada 650,000 hingga 750,000 tan metrik antara Oktober hingga Disember. 

 

Malah, menurut data pusat itu, pembelian juga dijangka susut 8.8% kepada 6.2 juta tan metrik sekitar 2020 hingga 2021. 

 

Sementara itu, Ketua Penyelidik CGS-CIMB, Ivy Ng berkata, selain harga tinggi dan cukai eksport yang boleh menghalang pembelian agresif, China juga telah menambah stok sempena sambutan Tahun Baharu Cina. 

 

Perayaan itu yang akan disambut pada pertengahan Februari, kebiasaannya melonjakkan penggunaan minyak sawit untuk menggoreng kuih. 

 

"Jika melihat kepada jumlah pembelian pada akhir tahun lalu, mereka sudah mempunyai bekalan yang cukup untuk Tahun Baharu Cina dan tidak perlu membeli lagi. 

 

"Pembeli pula mungkin akan menambah semula stok pada Mac atau April, tetapi ini bergantung kepada penggunaan ketika musim perayaan dan berapa banyak yang mereka perlukan untuk simpanan," katanya. - DagangNews.com