KUALA LUMPUR 26 Nov - Kenanga Research menyemak turun unjuran pendapatan IOI Properties Group pada FY25 dan FY26, masing-masing pada 11% dan 6%.
Firma penyelidikan itu berkata, semakan unjuran itu dibuat selepas mengambil kira pembangunan hartanah lebih lemah serta margin operasi yang dijangka kekal perlahan.
Katanya, keputusan 1QFY25 IOI Properties adalah di bawah jangkaan memandangkan keuntungan bersih jatuh 60%.
"Keputusan unjuran kami sebahagiannya didorong oleh segmen pembangunan hartanah Malaysia yang lebih lemah daripada jangkaan dengan permintaan hartanah China yang lebih perlahan.
"Bagaimanapun, projek IOI Properties di Singapura mendapat sambutan tinggi manakala pelaburan hartanah dan aset hospitalitinya memperoleh hasil yang lumayan.
"Dalam jangka masa terdekat, kami meramalkan IOI Properties akan mendapat pampasan dengan prestasi yang lebih baik dalam unit pelaburan dan hospitalitinya," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Kenanga berkata, pembangunan IOI Central Boulevard yang dijangka siap dalam masa tiga hingga empat tahun itu bakal meningkatkan jumlah penyewa yang seterusnya akan memacu pendapatan kumpulan.
"Kami menyukai IOI Properties kerana tumpuannya pada produk bernilai tinggi di perbandaran matang, portfolio hartanah pelaburannya yang memberikan pendapatan berulang dan kehadirannya dalam sektor hartanah di Singapura," katanya.
Sementara itu, Kenanga Research mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah kepada RM1.67 daripada RM1.71 sesaham. - DagangNews.com