China dijangka mengimport 4.8 juta minyak sawit tahun ini - Zuraida | DagangNews Skip to main content

China dijangka mengimport 4.8 juta minyak sawit tahun ini - Zuraida

Menteri Luar China, Wang Yi bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, di mana Wang menyatakan China sedia untuk mengimport lebih banyak minyak sawit Malaysia, antaranya.

PUTRAJAYA 19 Julai - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin China akan meningkatkan import minyak sawit walaupun sedang berdepan dengan cabaran global semasa.

 

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, China dijangka mengimport sekitar 4.8 juta tan minyak sawit tahun ini berdasarkan andaian bahawa kuantiti import Jun hingga Disember 2022 adalah sama seperti pada 2021.

 

Katanya, ia di sebalik cabaran ekonomi global semasa seperti kadar faedah yang tinggi, tekanan inflasi dan kebimbangan kemelesetan ekonomi.

 

"China juga menyokong dan menerima pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang membolehkan industri minyak sawit di China meningkatkan imej korporatnya sambil memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya serta merealisasikan Dasar Hijau Negara China.

 

"MSPO juga membantu memberi imej positif kepada sektor pembuatan China dan menyokong usaha Malaysia untuk meningkatkan taraf hidup pekebun kecil kelapa sawit, serta melengkapkan matlamat Inisiatif Belt and Road China ke arah pembangunan sosio-ekonomi kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Negeri China, Wang Yi semasa lawatannya ke Malaysia baru-baru ini yang mengatakan ekonomi kedua terbesar dunia itu sedia untuk mengimport lebih banyak minyak sawit, buah-buahan tropika dan produk pertanian lain dari Malaysia.

 

Zuraida berkata, kenyataan Yi itu satu berita baik memandangkan ketidaktentuan yang menyelubungi perdagangan minyak sawit antarabangsa yang dapat dilihat dengan kejatuhan harga minyak sawit mentah (MSM) ke paras di bawah RM4,000 untuk setiap tan metrik selepas melonjak melebihi RM8,000 pada Mac lalu.

 

"KPPK komited untuk meneruskan pelbagai kempen dan program mempromosikan penggunaan minyak sawit di seluruh dunia dan terus memainkan peranan penting dalam gerakan global bagi memperjuang kebaikan minyak sawit keluaran Malaysia," katanya.

 

 

Datuk Zuraida Kamaruddin
                  Datuk Zuraida Kamaruddin

 

 

Pada 2021, pasaran China merangkumi 11 peratus daripada jumlah import minyak sawit global dan 12 peratus daripada eksport minyak sawit Malaysia.

 

China mengimport 6.38 juta tan minyak sawit tahun lalu, dengan 1.67 juta tan daripada Malaysia.

 

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2022, harga minyak sayuran yang tinggi telah mengekang pembeli dan peniaga di China daripada mengimport secara aktif minyak sawit dan minyak masak lain, menyebabkan import minyak sawit turun 58.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, iaitu penurunan daripada 1.52 juta tan kepada hanya 960,000 tan.

 

Antara Januari hingga Jun 2022, eksport minyak sawit Malaysia ke China berjumlah 565,842 tan iaitu 175,640 tan atau 31 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, di China, kira-kira 75 peratus daripada minyak sawit importnya digunakan dalam sektor makanan, termasuk katering, mi segera, pemprosesan makanan dan sektor roti & konfeksionari.

 

"Produk sawit selain minyak sawit juga digunakan dengan meluas dalam sektor bukan makanan, terutamanya dalam industri oleokimia.

 

"Justeru, KPPK komited untuk meneruskan pelbagai kempen dan program mempromosikan penggunaan minyak sawit di seluruh dunia dan terus memainkan peranan penting dalam gerakan global bagi memperjuang kebaikan minyak sawit keluaran Malaysia," katanya. - DagangNews.com