China haramkan institusi kewangan melakukan transaksi mata wang kripto | DagangNews Skip to main content

China haramkan institusi kewangan melakukan transaksi mata wang kripto

BEIJING 21 Mei - China telah mengharamkan institusi kewangan dan syarikat pembayaran daripada menyediakan perkhidmatan berkaitan transaksi mata wang kripto, dan memberi amaran terhadap pelabur mengenai dagangan kripto.

 

Ia merupakan tindakan terbaru Cina untuk membendung perluasan pasaran dagangan digital. Di bawah larangan terbaru ini institusi seperti bank dan saluran pembayaran dalam talian, tidak dibenarkan untuk menawarkan pelanggan mereka sebarang bentuk perkhidmatan membabitkan mata wang kripto sama ada pendaftaran, dagangan, penyelesaian atau pemuktamadan, menurut tiga badan industri di dalam kenyataan bersama.

 

Tiga badan industri itu ialah the National Internet Finance Association of China, the China Banking Association, dan the Payment and Clearing Association of China. 

 

"Baru-baru ini, harga mata wang kripto melantun dan kemudian menjunam, dan dagangan spekulatif mata wang wang kripto telah kembali menaik, menjejaskan dengan serius keselamatan harta rakyat dan menganggu aliran normal ekonomi dan kewangan," kata mereka, lapor Reuters.

 

China telah mengharamkan bursa kripto dan penawaran awal syiling berkenaan tetapi belum mengharamkan individu daripada memiliki mata wang kripto.

 

Institusi tidak boleh menyediakan perkhidmatan simpanan, amanah atau ikrar bagi mata wang kripto, atau menerbitkan produk kewangan berkaitan mata wang kripto, ujar kenyataan itu lagi.

 

Menurut Reuters, langkah tersebut bukan yang pertama diambil oleh Beijing ke atas mata wang digital. Pada 2017, China menutup bursa mata wang kripto tempatan, menghapuskan pasaran spekulatif yang telah mewakili 90% dagangan bitcoin global.

 

Pada Jun 2019, People's Bank of China mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan menutup akses kepada semua bursa mata wang kripto domestik dan luar negara serta laman web Penawaran Awal Syiling, bertujuan mengekang semua jenis dagangan mata wang kripto dengan mengharamkan bursa-bursa asing.

 

Kenyataan tiga badan industri tersebut turut mengenengahkan risiko dagangan mata wang kripto, dengan menyatakan mata wang maya 'tidak disokong oleh nilai sebenar', harganya mudah dimanipulasi dan kontrak dagangan tidak dilindungi oleh undang-undang China. - DagangNews.com