Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Sept. - CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamik Bank Berhad akan membuka semua cawangan dan pusat penyimpanan auto di seluruh negara pada 19,20,26 dan 27 September 2020 bagi mempercepatkan proses bantuan kewangan kepada pelanggan yang terjejas.
CIMB dalam satu kenyataan berkata, langkah itu adalah untuk memberi bantuan serta membolehkan peminjam membuat perbincangan secara bersemuka bersama bank supaya dapat memahami dengan terperinci terhadap pilihan bantuan pembayaran yang disediakan.
"Ini termasuk pelanggan yang layak untuk mendaftar ke dalam Program Bantuan Bersasar CIMB (TAP) dan juga para peminjam yang tidak terjejas oleh wabak COVID-19 tetapi masih memerlukan bantuan pembayaran.
"Semua cawangan akan beroperasi mulai jam 9.30 pagi hingga 1.00 tengah hari pada hari Sabtu dan Ahad pada kedua-dua hujung minggu tersebut.
"Sementara itu, pusat pembiayaan auto CIMB juga akan dibuka dari 9 pagi hingga 1.30 tengah hari pada hari Sabtu dan Ahad bagi kedua-dua hujung minggu itu bermula 19 September 2020," jelas CIMB.
Pada pertengahan September, CIMB akan mengirim surat dan emel kepada semua peminjam yang belum menghubungi pihak bank sebagai peringatan kepada pelanggan mengenai bayaran ansuran yang akan bermula pada bulan Oktober.
Tambah CIMB, pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan untuk kemudahan pinjaman atau pembiayaan diminta untuk mengunjungi mana-mana cawangan atau pusat pembiayaan yang ada termasuk hal berkaitan penstrukturan dan menjadualan semula (R&R).
Manakala pelanggan dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula boleh melayari https://www.cimb.com.my/frap untuk mendapatkan pilihan bantuan yang ada.
Sejak awal Ogos, CIMB secara proaktif telah menghubungi 330,000 individu dan 10,000 PKS yang berkemungkinan paling terjejas akibat COVID-19.
CIMB telah berunding dan turut menasihati mereka yang terlibat untuk menghantar permohonan kepada pihak bank.
Sejak tempoh tersebut juga, CIMB telah meluluskan TAP CIMB dan lain-lain bantuan kewangan berjumlah hampir RM5 bilion kepada lebih 25,000 orang pelanggan.
Bagi pelanggan PKS CIMB telah meluluskan lebih daripada RM2.5 bilion untuk Program Bantuan Bersasar CIMB, hampir RM700 juta di bawah Tabung Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (SRF/SRF-i) serta RM300 juta untuk kemudahan bantuan tambahan (CIMB BRF/BRF-i) oleh CIMB sendiri.
Pelanggan dinasihati untuk menghubungi Pusat Panggilan CIMB di talian +603-6204 7788 atau emel [email protected] untuk berbincang secara lanjut berkenaan bantuan kewangan yang ditawarkan oleh CIMB.
Pelanggan PKS pula boleh menghubungi Pusat Panggilan Perniagaan CIMB di talian 1300 888 828 (Tempatan) dan +603 2297 3000 (Luar Negara) dari Isnin hingga Jumaat dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam dan Sabtu dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali cuti umum).
PKS dan pelanggan korporat juga boleh menghubungi Pengurus Perhubungan CIMB mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pilihan pembiayaan yang sedia ada. - DagangNews.com