CIMB Foundation, Forest Interactive Foundation iktiraf 5 pelajar terbaik menerusi program #seKODlah | DagangNews Skip to main content

CIMB Foundation, Forest Interactive Foundation iktiraf 5 pelajar terbaik menerusi program #seKODlah

Rafe Haneef dan Johary Mustapha (tengah) bergambar bersama finalis serta pemenang pada majlis penyampaian anugerah program #seKODlah.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Sept -  CIMB Foundation bersama Forest Interactive Foundation baru-baru ini telah mengiktiraf lima pelajar terbaik di majlis anugerah program #seKODlah, sebuah inisiatif yang bertujuan untuk memupuk inovator masa hadapan yang terdiri daripada komuniti B40. 

 

Inisiatif ini adalah usaha sama antara kedua-dua pihak demi memupuk minat golongan muda untuk menceburi bidang teknologi baharu, di samping memangkin corak perjalanan kerjaya mereka untuk masa hadapan. 

 

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Foundation, Rafe Haneef bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Forest Interactive Foundation, Johary Mustapha.


 
Seramai tujuh peserta telah membentangkan projek kemuncak mereka di hadapan sekumpulan ahli panel yang terdiri daripada wakil-wakil CIMB Foundation dan Forest Interactive Foundation. 

 

Setelah tamat proses penilaian, projek kemuncak terbaik berserta dua projek keusahawanan terbaik telah dipilih sebagai pemenang yang membawa pulang wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,000. 

 

Sebagai tambahan, para peserta program #seKODlah juga perlu menjalani sesi latihan dan bimbingan berstruktur selama empat bulan menjelang pembentangan projek kemuncak mereka sebelum tamat tempoh program.

 

Program #seKODlah ini terdiri daripada pelajar universiti tahun akhir berserta graduan baharu yang mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi. Mereka diberikan sesi latihan dan bimbingan untuk menguasai bahasa pengaturcaraan dan modul berkaitan teknologi maklumat melalui Codecademy. 

 

Bengkel tambahan yang membincangkan kemahiran insaniah, termasuk komunikasi dan kepimpinan, serta pemasaran digital juga disediakan untuk melengkapkan semua peserta dengan kaedah dan asas utama sebelum melangkah ke dunia pekerjaan. 

 

Tambahan pula, mereka juga ditugaskan di bawah bimbingan mentor-mentor dari institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Swinburne University of Technology Kampus Sarawak dan juga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

 

Rafe berkata, didorong oleh pasca pandemik global, keperluan untuk mengolah bakat digital dalam kalangan anak muda adalah sangat penting, selaras dengan pembangunan pesat syarikat-syarikat pada masa kini demi memenuhi permintaan ekonomi yang sentiasa berubah.

 

"Oleh itu, adalah sangat penting untuk generasi seterusnya menguasai ilmu pembelajaran berkaitan teknologi untuk melengkapi diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran tenaga kerja untuk masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Secara keseluruhan katanya, program #seKODlah merupakan pemangkin kebolehpasaran anak muda dalam persediaan mereka untuk memasuki tenaga kerja teknologi yang mempunyai permintaan tinggi. - DagangNews.com