CIMB jamin tidak kenakan faedah atau keuntungan terkompaun sepanjang moratorium | DagangNews Skip to main content

CIMB jamin tidak kenakan faedah atau keuntungan terkompaun sepanjang moratorium

KUALA LUMPUR 7 Julai - CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd Bhd (CIMB) memberi jaminan tidak akan mengenakan faedah atau keuntungan terkompaun dan sebarang faedah penalti atau caj lewat bayar sepanjang tempoh moratorium.

 

CIMB berkata, bank itu akan memastikan rekod laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) juga tidak terjejas apabila pelanggan mengambil bantuan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) itu.

 

Bermula hari ini, CIMB menawarkan semua individu (B40, M40 dan T20), perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas boleh memilih moratorium enam bulan dengan kelulusan automatik bagi mengurangkan beban aliran tunai disebabkan COVID-19.

 

"Mereka juga boleh memilih pengurangan 50 peratus ansuran selama enam bulan bagi kemudahan kredit seperti gadai janji, pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB)/pembiayaan dan kemudahan kredit kadar berubah.

 

"Malah, bank juga menawarkan pilihan moratorium tiga bulan untuk kemudahan sewa beli, manakala bagi kad kredit, pelanggan boleh menukar baki hutang menjadi pinjaman/pembiayaan selama tiga tahun dengan kadar faedah/keuntungan berkurangan bagi membantu mereka menguruskan hutang lebih baik," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Bagi memastikan pelanggan dapat mengakses program bantuan pembayaran dengan mudah, CIMB telah menyediakan eBorang digital yang boleh didapati di laman sokongan CIMB iaitu https://www.cimb.com.my/covid19support.

 

Laman sokongan itu akan menerangkan pilihan bantuan pembayaran yang mudah difahami di mana pelanggan hanya diminta membuat pilihan yang diingini untuk mengaktifkan proses terbabit.

 

"Pelanggan juga disaran untuk memeriksa laman web CIMB bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai waktu operasi yang dihadkan susulan pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

"Bagaimanapun, pelanggan disarankan untuk menggunakan eBorang digital atau menghubungi CIMB menerusi saluran digital.

 

"Untuk mempercepatkan proses permohonan, CIMB juga mula menghubungi kumpulan individu terpilih yang mungkin memerlukan bantuan menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS)," tambah CIMB.

 

CIMB turut menjelaskan, kelulusan permohonan moratorium terbabit diberikan secara automatik, tanpa memerlukan sebarang dokumentasi.

 

"Bagaimanapun, bagi pelanggan sewa beli, mereka diminta untuk menandatangani variasi perjanjian dengan penjamin mereka (jika perlu) sebelum bantuan pembayaran ini diaktifkan.

 

"Selepas itu pelanggan membuat pilihan, bank akan menghubungi mereka untuk membuat pengaturan berhubung variasi perjanjian ini. Moratorium akan berkuatkuasa pada bulan berikutnya. Tetapi, pelanggan tetap boleh menghubungi bank untuk mengaktifkannya pada bulan sama," katanya. - DagangNews.com