KUALA LUMPUR 22 April - CIMB Group Holdings Bhd berkata keutamaan kumpulan perbankan itu pada tahun ini adalah meneruskan momentum pertumbuhan positif sambil mengekalkan pendekatan yang terfokus bagi pelaburan dalam bidang pertumbuhan seperti pengurusan kekayaan, perbankan transaksi dan perniagaan rangkaian di ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, satu lagi bidang tumpuan adalah teknologi serta operasi, yang mana pihaknya merancang untuk melabur hampir RM1.2 bilion pada 2022 kerana CIMB mahu mempercepatkan transformasi digital dan mengukuhkan lagi teknologi termasuk daya tahan operasi.
"Sebagai sebahagian daripada pelaburan teknologi ini, kami berharap untuk memperkenalkan aplikasi perbankan mudah alih Next Gen menjelang akhir tahun ini," katanya dalam satu kenyataan kepada bursa saham selepas mesyuarat agung tahunan syarikat yang diadakan secara maya pada Khamis, Bernama melaporkan.
Sasaran utama bank itu bagi 2022 merangkumi pulangan ekuiti antara 7.5 peratus kepada 8.0 peratus (atau 8.5 peratus kepada 9.0 peratus tidak termasuk kesan cukai kemakmuran satu kali sahaja).
"Selain itu, kami melihat jumlah pertumbuhan pinjaman antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus, kos kepada nisbah pendapatan di bawah 49 peratus termasuk mengekalkan nisbah ekuiti Tahap 1 di atas 13 peratus," kata bank itu lagi.
Kumpulan perbankan itu telah menyaksikan pemulihan pada tahun kewangan 2021, dengan prestasi asas yang kukuh di semua segmen perniagaan serta geografi, sementara prestasi dari tahun ke tahun yang semakin positif telah didorong oleh pertumbuhan mantap dalam pendapatan operasi, disiplin dalam pembendungan kos dan peruntukan yang lebih rendah selaras dengan sasarannya.
Pengerusi kumpulan CIMB Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, "Pada 2021, kami menguruskan hubungan pihak berkepentingan kami dengan penjagaan serta tujuan yang telah diperbaharui dalam ke arah memajukan pelanggan dan komuniti." - DagangNews.com