Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Noor Afifah Abdul Razak (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Abdul Razib Dawood (dua, kanan) meninjau operasi di Pusat Operasi Meter Pintar (SMOC) di TNB Jalan Timur dalam satu lawatan, 23 Mac lalu.
KUALA LUMPUR 26 Mac - Pengguna meter pintar dan aplikasi myTNB bakal menerima lebih banyak manfaat menerusi penambahan ciri-ciri baharu serta naik taraf perkhidmatan, selewat-lewatnya pada suku keempat tahun ini.
Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir. Mohamed Ghous Ahmad berkata, antara ciri baharu yang bakal dinikmati pengguna adalah pemberitahuan pengesanan gangguan bekalan dan pemberitahuan notis gangguan bekalan berkala.
Katanya, ciri-ciri baharu ini adalah bertepatan dan bersesuaian dengan usaha TNB mendukung dan merealisasikan hasrat kerajaan memberi manfaat kepada rakyat dengan memperkasakan bidang ekonomi digital.
“Menerusi ciri Energy Budget pula, pengguna dapat merancang jumlah atau had penggunaan elektrik bulanan dan akan menerima notifikasi (alert) apabila jumlah bil sasaran bulanan telah mencapai had yang ditetapkan.
“Satu lagi ciri meter pintar adalah keupayaannya mendorong pengguna menggunakan elektrik dengan lebih efisien dan jimat tenaga, sekali gus membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat pada satu lawatan kerja Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood di Pusat Operasi Meter Pintar, pada 23 Mac lalu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood; Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.
TNB telah memasang lebih 1 juta meter pintar setakat ini iaitu 788,000 pemasangan melibatkan pengguna di Lembah Klang manakala 317,000 lagi di Melaka.
Pemasangan meter akan diperluaskan kepada kesemua 9.1 juta pengguna di Semenanjung Malaysia menjelang 2026.
Sehingga akhir bulan lalu, lebih 4.8 juta akaun pengguna berdaftar telah menggunakan aplikasi myTNB.
Kombinasi aplikasi ini dan meter pintar membantu pengguna mengawal dan memantau penggunaan elektrik mereka.
TNB merupakan ejen pelaksana program pemasangan smart meter bagi menyokong hasrat kerajaan memperkasa pengguna dan meningkatkan pendigitalan dalam kalangan rakyat.
Ia dilaksanakan di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR). - DagangNews.com