CITF ambil tindakan segera kes COVID-19 di PPV SCCC, kesemua kontak rapat adalah negatif | DagangNews Skip to main content

CITF ambil tindakan segera kes COVID-19 di PPV SCCC, kesemua kontak rapat adalah negatif

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) menegaskan bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Setia City Convention Centre (SCCC) mengambil tindakan segera berhubung kes positif yang dikesan pada 11 Julai baru-baru ini.

 

Menurut CITF, kes yang melibatkan tujuh petugas itu telah dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

"Senarai kontak rapat juga telah dikenal pasti, diminta untuk turut melaksanakan ujian saringan dan kesemua mereka diarahkan untuk melakukan pengasingan kendiri sementara menunggu keputusan.

 

"Keputusan ujian saringan mendapati kesemua 11 kontak rapat adalah negatif.

 

"Oleh kerana maklumat kes positif adalah sulit dan peribadi, hanya pegawai perubatan yang bertauliah dibenarkan memiliki maklumat tersebut," jelas CITF.

 

Pada masa sama, SCCC tidak melarang mana-mana petugas lain untuk menjalani ujian saringan.

 

Seramai 230,000 orang telah divaksin dan berjalan lancar sejak PPV itu dibuka pada 7 Jun sehingga 17 Julai 2021.

 

Tambah CITF, kawasan yang dikenal pasti terlibat di PPV tersebut juga telah disanitasi segera oleh pengurusan SCCC yang mempunyai keupayaan berkenaan.

 

Mengulas berkaitan adanya pesakit COVID-19 yang pernah hadir sebelum ini, PPV berkenaan juga mengesahkan bahawa penerima vaksin dalam kalangan bekas pesakit COVID-19 yang telah melepasi tempoh kuarantin adalah dibenarkan menerima vaksinasi.

 

"Kebenaran itu diberi berdasarkan bukti surat pelepasan (Home Release Order) yang dikeluarkan oleh Pusat Kesihatan Daerah sekiranya mereka dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

 

"Hal ini juga termaktub dalam Clinical Guideline on Covid-19 Vaccination of Malaysia, 2nd Edition.

 

"CITF akan terus memastikan semua PPV mematuhi garis panduan yang telah disediakan serta menjalankan amalan SOP yang sepatutnya bagi memastikan tiada risiko penularan jangkitan berlaku di mana-mana PPV, pada ketika jangkitan kini menular dalam kalangan komuniti (sporadik)," jelas CITF lagi. - DagangNews.com