CJ Century Logistics sasar tingkatkan jumlah pengangkutan sebanyak 10% pada FY23 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

CJ Century Logistics sasar tingkatkan jumlah pengangkutan sebanyak 10% pada FY23 - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mei - CJ Century Logistics Holdings Berhad menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pengangkutan sebanyak 10% pada FY23 dengan memanfaatkan hubungan dengan syarikat induknya, CJ Logistics.

 

MIDF Research berkata, kumpulan itu juga akan memanfaatkan pertumbuhan pelanggannya yang berpangkalan di Korea Selatan yang menyumbang antara 30% hingga 35% daripada hasilnya.

 

Katanya, sumbangan daripada bahagian logistik pemerolehan akan menyaksikan kenaikan semula kerana kumpulan itu melihat lonjakan ketara dalam permintaan terutamanya daripada pasaran Vietnam.

 

Firma itu berkata, cabaran rantaian bekalan berkaitan komponen yang diperoleh dari China dijangka dapat diselesaikan berikutan pembukaan semula negara itu.

 

"Kami menjangkakan peningkatan dalam pendapatan kerana bagi suku kedua dan suku ketiga adalah lebih kukuh mengikut musim," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras sebanyak RM3.7 juta.

 

Pendapatan itu berada di bawah jangkaan kerana ia hanya menyumbang 10% hingga 11% daripada anggaran firma dan sisihan itu disebabkan oleh perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 95 sen.

 

Katanya, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk jumlah pengendalian lebih rendah daripada jangkaan dan kemerosotan dalam margin keuntungan akibat tekanan kos yang semakin meningkat. - DagangNews.com