CKL Group lancar program pelesenan Lim Tayar Family bagi industri selepas jualan | DagangNews Skip to main content

CKL Group lancar program pelesenan Lim Tayar Family bagi industri selepas jualan


KUALA LUMPUR 17 Mei – Kumpulan perkhidmatan automotif, CKL Group melancarkan program pelesenan Lim Tayar Family (LTF) bagi industri selepas jualan yang terdiri daripada penjual tayar dan pemilik bengkel kereta untuk mengembangkan perniagaan dan keuntungan mereka.

 

Melalui program LTF ini, para penjual tayar dan para pemilik bengkel akan menerima kepakaran dan sokongan untuk memajukan dan menguruskan perniagaan mereka menerusi Lim Tayar, yang terkenal dalam industri perkhidmatan kenderaan di Malaysia.

 

Menurut Clement Lim, Pengarah Urusan Bersama CKL Group, banyak rintangan terpaksa dihadapi oleh peniaga kenderaan yang disebabkan oleh pandemik yang melanda sejak tahun lepas.

 

“Justeru, kami telah mewujudkan program ini khusus untuk menawarkan bantuan kepada para pemilik yang menantikan peluang yang lebih baik. Program ini disesuaikan untuk sesiapa yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dengan disokong oleh pusat perkhidmatan kenderaan yang terkemuka.”

 

“Lim Tayar merupakan salah satu pusat sehenti servis kenderaan terbesar di Malaysia. Bersama syarikat gabungan kami School of Skills yang menawarkan latihan teknikal vokasional, kami yakin bahawa kami dapat membantu rakan kongsi kami untuk membina kemahiran kakitangan mereka dan mengurangkan masalah tenaga kerja yang dihadapi oleh industri  ini,” tambah beliau.

 

Di bawah program ini, bengkel berlesen atau penjual tayar akan mendapat sokongan dari sebuah jenama yang kukuh kerana Lim Tayar mempunyai pengalaman selama 35 tahun di dalam industri. Faedah lain termasuk sokongan stok seperti tayar, minyak enjin, alat ganti, bateri, pemasaran serta solusi operasi perniagaan yang menyeluruh meliputi sistem titik jualan, senarai harga tetap dan premis perniagaan yang lengkap tersedia dan terletak di lokasi yang strategik.

 

Program LTF ini menawarkan faedah mirip francais, namun begitu rakan bengkel diberi kelonggaran untuk menawarkan perkhidmatan lain atau kepakaran dalam bidang lain selain daripada yang ditawarkan oleh Lim Tayar. Terdapat juga pelan pembiayaan yang fleksibel untuk program ini termasuk pelan bayaran ansuran untuk yuran pelesenan.

 

lim

 

Program pelesenan ini bermakna Lim Tayar akan mengembangkan perkhidmatan dan rangkaiannnya ke seluruh negara. Pada masa ini, CKL Group mempunyai 18 pusat servis di sekitar Lembah Klang dan satu di Seremban.

 

“Lim Tayar telah membuktikan kemampuannya untuk bergerak maju dengan menjalin pelbagai usaha sama dari permulaan pandemik tahun lepas sehingga kini. Sebagai jenama yang terkenal, kami membina reputasi semenjak 35 tahun lalu sebagai jenama yang dipercayai oleh pelanggan kami. Dengan pengembangan ke seluruh negara ini, kami dapat menawarkan pengalaman yang sama kepada pelanggan di seluruh negara menerusi rakan niaga berlesen kami,” ujar Lim.

 

Inisiatif terbaharu oleh CKL Group ini turut disokong oleh rakan niaga Lim Tayar yang lain seperti Castrol, Nokian, Interstate, Bendix, 3M dan lain-lain lagi.

 

Kepada yang berminat, anda boleh layari https://family.limtayar.com.my/ untuk maklumat lanjut tentang program tersebut.

 

Ditubuhkan sejak 1985, Lim Tayar terus berkembang sehingga menjadi salah satu pusat servis kenderaan yang terkemuka di Malaysia. Lim Tayar dikenali sebagai pusat sehenti penyelenggaraan kenderaan dan menawarkan pelbagai rangkaian produk dari jenama terkenal bagi memenuhi keperluan kebanyakan kenderaan masa kini. - DagangNews.com