KUALA LUMPUR 5 Okt - Sebuah syarikat pemula teknologi dan e-dagang terkini Malaysia, CNCRD melancarkan sebuah platform digital yang memberi pelbagai faedah kepada budaya jualan semula yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna, terutamanya kasut sneaker.
Platform tersebut direka sebagai sebuah pusat sehenti bagi penjual dan pembeli kasut sneaker dalam pasaran terpakai, selain mengurangkan risiko penipuan kasut jenis replika atau pembelian produk yang salah.
Ditubuhkan oleh seorang usahawan teknologi dan pencinta kasut sneaker, Ryan Ng, 22, mengambil kira pelbagai perubahan terkini yang mengambil tempat dalam budaya jualan semula, baik dalam arena tempatan mahupun antarabangsa.
"Tawaran yang baik untuk sepasang kasut hari ini boleh jadi sesuatu yang kurang memuaskan pada esok hari. Di sinilah terletaknya peranan CNCRD dalam menawarkan pengalaman jual beli e-dagang terbaik buat para pengguna kami.
"Untuk melonjakkan perniagaan kami ke tahap yang seterusnya, CNCRD juga menawarkan pengalaman luar talian buat para pengguna dan telah melancarkan ruang pameran di The Five, Damansara Heights.
"Dengan itu, CNCRD secara langsung menawarkan kombinasi pengalaman hebat dua penjuru iaitu kebolehskalaan teknologi dan intimasi ruang fizikal. Kami percaya bahawa pengalaman membeli-belah secara hybrid ini adalah cara yang terbaik buat masa ini," katanya dalam satu kenyataan.
CNCRD bersandarkan kepada misi untuk berkembang secara lestari sebagai sebuah syarikat dengan segmen perniagaan yang berkongsi sinergi yang hampir sama, di samping sentiasa menawarkan nilai terbaik buat para pengguna.
Matlamat jangka panjang CNCRD adalah menjadi sebuah konglomerat teknologi dan berkecimpung dalam pelbagai segmen teknologi dan landskap perniagaan digital yang lain.
Tambah Ryan, mereka telah merancang pelbagai aktiviti untuk berganding bahu dengan tenaga-tenaga kreatif daripada fesyen, seni, reka bentuk sehinggalah makanan dan sukan untuk merancakkan lagi ruang fizikalnya.
"Perlu juga untuk saya kongsikan bahawa kami sedang membangunkan aplikasi CNCRD yang dijangka siap menjelang suku kedua 2023)," katanya.
Peminat kasut sneaker boleh melayari laman web http://www.cncrd.com atau ikuti CNCRD di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok. - DagangNews.com