CNERGENZ catat hasil RM36.9 juta 1QFY2022 | DagangNews Skip to main content

CNERGENZ catat hasil RM36.9 juta 1QFY2022

Jualan mesin dan peralatan teknologi pelekap permukaan (SMT) yang membentuk 60.9% daripada jumlah hasilnya.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

PULAU PINANG 27 MEI  – CNERGENZ Berhad, penyedia penyelesaian pembuatan elektronik yang berpangkalan di Pulau Pinang, mencatatkan perolehan hasil sebanyak RM36.9 juta untuk 1QFY2022, terutamanya disumbangkan daripada jualan mesin dan peralatan teknologi pelekap permukaan (SMT) yang membentuk 60.9% daripada jumlah hasilnya.

 

Di samping itu, jualan yang dijana daripada penyediaan segmen penyelesaian bersepadu menyumbang 31.2% kepada jumlah hasil.

 

Syarikat juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM4.87 juta dan mencapai keuntungan bersih (PAT) sebanyak RM3.64 juta bagi tempoh tersebut.

 

Selepas tidak termasuk perbelanjaan sekali sahaja berkaitan tawaran awam permulaan berjumlah RM0.16 juta yang ditanggung dalam tempoh tersebut, PBT dan PAT Syarikat masing-masing berjumlah RM5.03 juta dan RM3.80 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CNERGENZ, Lye Yhin Choy berkata, aktiviti pembuatan kekal teguh pada 1QFY2022 yang membawa kepada permintaan berterusan untuk penyelesaian bersepadu kami dalam industri elektronik dan semikonduktor (E&S).

 

"Kami juga telah melihat peningkatan dalam permintaan untuk penyelesaian kilang pintar kerana pelanggan melihat kepada automasi untuk menyelesaikan masalah tenaga kerja."

 

“Kami akan meneruskan rancangan yang telah kami kongsikan menjelang penyenaraian syarikat ini, termasuk pengembangan kemudahan untuk membolehkan kami meningkatkan operasi, serta mengukuhkan aktiviti R&D untuk membangunkan sistem bersepadu baharu dan inovatif dan penyelesaian kepada pasaran.

 

Sehingga kini, kami telah memperoleh pesanan pembelian berjumlah RM82.48 juta, yang kami jangka akan dapat dipenuhi menjelang akhir 2022,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

LYE YHIN CHOY
                  Lye Yhin Choy

 

 

CNERGENZ telah diperbadankan di Malaysia pada 6 Ogos 2021 sebagai sebuah syarikat sendirian berhad di bawah nama CNERGENZ Sdn. Bhd. dan mengambil alih nama sekarang apabila bertukar kepada syarikat awam pada 23 September 2021.

 

Kumpulan ini pada dasarnya adalah sebuah syarikat pemegangan pelaburan. Melalui anak syarikatnya, SiP Technology Sdn. Bhd., CNERGENZ ialah penyedia penyelesaian pembuatan elektronik, yang mengkhusus dalam penyelesaian pembuatan teknologi pelekap permukaan (SMT) untuk industri elektronik dan semikonduktor.

 

Penyelesaian dan perkhidmatan Kumpulan biasanya disediakan kepada pelanggan yang ingin mentauliahkan barisan pengeluaran bersepadu baharu atau mengautomasikan kemudahan pengeluaran mereka, berdasarkan keperluan operasi, belanjawan dan perbelanjaan modal mereka.

 

CNERGENZ terutamanya menyediakan perkhidmatan kepada syarikat elektronik dan semikonduktor yang menjalankan pemasangan produk pembungkusan semikonduktor termaju serta pemasangan dan ujian pemasangan papan litar bercetak (PCBA). - DagangNews.com