Co-opbank Pertama sasar RM250 juta menerusi kempen `Anda Simpan, CBP Gandakan' | DagangNews Skip to main content

Co-opbank Pertama sasar RM250 juta menerusi kempen `Anda Simpan, CBP Gandakan'

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Co-opbank Pertama Bhd (CBP) menyasarkan RM250 juta daripada pertambahan jumlah pendeposit untuk perkhidmatan Deposit-i Berjangka Bagi Individu menerusi kempen ‘Anda Simpan, CBP Gandakan’ selama 6 bulan yang dilancarkan baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Kanan Komersial, Mohd Faris Kamarudin berkata kempen yang berkuat kuasa pada 1 April 2021 menerusi Akaun Deposit-i Berjangka Bagi Individu itu adalah eksklusif untuk pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan.

Mohd Faris Kamarudin
Mohd Faris Kamarudin, Ketua Pegawai Kanan Komersial CBP

 

 

“Pada masa sama, CBP terbuka untuk meneruskan kempen ini bagi mencapai sasaran itu dengan bergantung kepada sambutan dan sasaran,” katanya.

 

Beliau berkata, Deposit-i Berjangka CBP menekankan konsep deposit berjangka Islam (tawarruq) yang dilaksanakan mengikut pembelian dan penjualan komoditi yang diluluskan syariah dan kadar keuntungan tetap.

 

Tawarruq bermaksud pelanggan akan menerima wang tunai sebagai pertukaran untuk komoditi yang dijual kepada pihak ketiga, katanya.

 

“Konsep syariah digunakan adalah Murabahah Tawarruq dan ia adalah penjualan komoditi mengikut harga beli pada kadar keuntungan yang dipersetujui,” katanya.

 

Mohd Faris berkata Deposit-i Berjangka CBP juga rendah risiko berbanding dengan pelaburan lain dan produk itu dapat membantu pelanggan untuk meningkatkan simpanan pelaburan dengan didorong keuntungan secara berkala.

 

Deposit-i Berjangka CBP bertujuan menggalakkan pelanggan membuat pelaburan bijak lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi kini yang mencabar. - DagangNews.com