Co-opbank Pertama tawar geran penyelidikan kepada 12 IPT melalui agihan zakat wakalah bernilai RM512,000 | DagangNews Skip to main content

Co-opbank Pertama tawar geran penyelidikan kepada 12 IPT melalui agihan zakat wakalah bernilai RM512,000

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - Co-opbank Pertama (CBP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama 12 buah institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara menerusi Program Bantuan Wasilah Ilmiah Fisabillah, iaitu Geran Penyelidikan.

 

Antara IPT yang menerima geran penyelidikan daripada CBP adalah Politeknik Seberang Perai, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Malaya (UM).

 

Turut menerima geran penyelidikan tersebut adalah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan UNISHAMS.

 

Setiap IPT tersebut menerima geran penyelidikan sebanyak RM10,000 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM120,000.

 

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, geran penyelidikan yang diberikan ini adalah daripada agihan zakat wakalah CBP Fasa 1 dan Fasa II yang berjumlah RM512,000.

 

"Diharapkan dengan geran penyelidikan yang diberikan ini ianya dapat membantu IPT-IPT yang terlibat untuk terus menghasilkan graduan-graduan yang berkualiti seterusnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

 

"Insya-Allah, program-program seperti ini akan terus dilakukan di masa akan datang dengan lebih banyak IPT yang akan menerima geran penyelidikan seperti ini.

 

 

coopbank
                                                                        Datuk Baharom Embi

 

 

"Semoga dengan agihan wakalah zakat ini akan membawa keberkatan kepada perniagaan CBP," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Sementara itu, dua buah IPT iaitu INCEIF University dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA) menerima agihan keseluruhan sebanyak RM20,000.


 
Turut diadakan juga agihan kepada mahasiswa IPT kepada sebelas 11 IPT iaitu UPM, UPNM, UPSI, UMT, UKKM, UPTM, UM, UITM, UKM, UIA, UMP yang menerima agihan keseluruhan sebanyak RM110,000.

 

Di majlis sama, CBP turut mengagihkan wakalah zakat kepada 120 penerima pelajar sekolah dan tiga buah masjid menerusi wakil yang hadir dengan agihan keseluruhan sebanyak RM75,000. - DagangNews.com