Cofundr lancar kempen KITACOVER khusus bagi PKS  | DagangNews Skip to main content

Cofundr lancar kempen KITACOVER khusus bagi PKS 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 24 Jan - Crowd Sense Sdn Bhd (CSSB), operator peer-to-peer (P2P) yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan beroperasi melalui platform Cofundr melancarkan kempen KITACOVER  bersempena Minggu MyFintech yang dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)

 

Pengarah di Cofundr, Ahmad Kamal S. Awab berkata, kempen yang disasarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkenaan menggunakan dua jenis pendekatan berbeza iaitu menerusi pendidikan dan peningkatan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan insurans untuk syarikat PKS melalui perkhidmatan nasihat percuma kepada pemilik-pemilik perusahaan. 

 

 

Katanya, perkhidmatan nasihat ini disediakan oleh panel insurans profesional Cofundr yang berfungsi sebagai perantara dan terdiri daripada agen dan broker insurans berpengalaman yang mahir dan mempunyai kepakaran khususnya untuk menangani segmen PKS, serta berpengetahuan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan bencana alam.

 

"Pendekatan kedua bagi Cofundr adalah melalui pembiayaan premium yang berkaitan secara crowdfunding dan untuk jangkamasa yang ditetapkan, Cofundr akan turut menawarkan subsidi penuh bagi kos kewangan yang telah diluluskan.

 

"Ini bermakna pemilik perniagaan PKS boleh memperolehi perlindungan insurans penuh tanpa perlu mengubah liputan insurans mereka dan pada masa yang sama, mereka juga boleh membuat pembayaran premium secara bulanan tanpa apa-apa kos tambahan. 

 

"Ini memudahkan mereka kerana mereka tidak perlu membayarnya secara sekaligus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu Pengurus Projek bagi kempen KITACOVER yang juga merupakan Pengurus Komunikasi Cofundr, Sean Khoo,  berkata fokus mereka adalah untuk mempromosikan keterangkuman kewangan bagi syarikat PKS dengan peningkatan akses bagi pembiayaan dan penyediaan penyelesaian inovatif yang konsisten, terutamanya selepas pandemik dan bencana alam baru-baru ini.

 

"Tragedi banjir bukanlah suatu yang baru, tetapi malangnya masih banyak syarikat PKS yang mengalami kerugian besar dan mereka tidak memperolehi apa-apa pampasan kerana tiada pemilikan insurans.

 

"Apabila menghadapi kekangan dari segi aliran tunai, syarikat PKS akan menunda, mengurangkan atau dalam beberapa kes, akan mengabaikan perlindungan insurans mereka. Ini kerana insurans adalah perbelanjaan yang tidak membawa pulangan balik, tambahan pula, pembeli terpaksa membuat bayaran pendahuluan penuh untuk premium mereka. 

 

Oleh itu, kebanyakan syarikat PKS lebih suka mengambil risiko untuk tidak membeli insurans. Ini boleh menyebabkan mereka kehilangan segalanya, malah mereka mungkin menanggung bebanan hutang apabila perniagaan mereka mengalami kerugian apabila dilanda bencana alam," katanya.

 

Syarikat PKS yang berminat boleh mendaftar untuk menerima khidmat nasihat di www.kitacover.com -DagangNews.com