KUALA LUMPUR 30 Mac - Columbia Asia meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi penganjuran kelas antenatal terbesar yang pernah diadakan di negara ini.
Hospital tersebut dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pencapaian itu adalah hasil kerjasama dengan dua Hospital Columbia Asia (Puchong dan Petaling Jaya) dan platform keibubapaan dalam talian, MommyDaddy&i.
Katanya, kelas tersebut disertai seramai 406 bakal ibu bapa yang berlangsung di Pusat Konvensyen i-City, Shah Alam, Selangor.
"Objektif acara ini adalah untuk menyediakan ibu bapa baharu untuk kedatangan anak kecil mereka. Ia merupakan bengkel yang komprehensif dengan program yang bukan sahaja bermanfaat untuk para peserta tetapi juga perlu," katanya.
Antara pembentang pada majlis itu ialah pakar dari Hospital Columbia Asia-Puchong (CAH-P) yang membincangkan topik seperti, Panduan Pemakanan Sihat Semasa Hamil oleh pakar diet Mardiah Mat Din, Langkah-Langkah Menjayakan Laktasi dan Mengendalikan Si Kecil Anda.
Selain itu, topik lain termasuk Sesi Praktikal (Memandikan Si Kecil) oleh Penyelia Jururawat, Nurhilyani Jaapar dan Pulang Bersama Bayi Baru-Apa Yang Dijangkakan oleh Pakar Perunding Pediatrik, Dr Cheok Sui Ann.
Dr Nicholas Lim yang merupakan Pakar O&G di Hospital Columbia Asia-PJ (CAH-PJ), turut berkongsi pengetahuannya mengenai topik Buruh & Penghantaran: Apa Yang Anda Perlu Tahu.
Turut diadakan demonstrasi cara memandikan bayi yang baru lahir diketuai oleh Nurhilyani. Selain itu, terdapat demonstrasi cara menggunakan mesin TENS untuk menguruskan kesakitan semasa bersalin. - DagangNews.com