KUALA LUMPUR 30 Jun - RHB Securities Research menjangkakan Coraza Integrated Technology bercadang untuk membina sebuah kilang baharu dengan keluasan binaan 91,110 kaki persegi untuk mengembangkan kapasiti dan keupayaan pengeluarannya.
Firma itu berkata, cadangan itu adalah antara usaha kumpulan itu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatannya.
Katanya, kumpulan itu juga berminat untuk mendapat mesin baharu bagi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 81 berbanding 75 dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Mesin tambahan seperti laser, turet dan mesin pelentur akan meningkatkankapasiti fabrikasi kepingan logamnya sebanyak 25%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, pihaknya menggemari Coraza kerana perkembangan kukuhnya dengan kadar pertumbuhan tahunan yang dikompaun (CAGR) 29.2% dan nisbah tempahan selain perkembangan struktur dalam permintaan peralatan semikonduktor.
Katanya, kumpulan itu pengetahuan mengenai proses yang rumit selain memiliki pendedahan kepada bekalan rantaian semikonduktor.
"Pelan pengembangan kapasiti yang berterusan seharusnya membolehkan Coraza meningkatkan lagi kecekapan operasi dan mengembangkan kehadirannya di pasaran," katanya.
Firma itu berkata, Coraza sentiasa bekerjasama dengan pelanggannya dalam menyediakan input tambahan mengenai reka bentuk produk yang dikehendaki.
"Keupayaan itu membolehkan mereka membina hubungan yang baik dengan pelanggan dan menghasilkan produk yang diperlukan pada harga yang lebih kompetitif," katanya.
Firma itu memulakan liputan terhadap Coraza dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM0.82. - DagangNews.com