Coraza diunjur terus lemah pada 2HFY23 ekoran cabaran makroekonomi, kelembapan permintaan semikonduktor – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Coraza diunjur terus lemah pada 2HFY23 ekoran cabaran makroekonomi, kelembapan permintaan semikonduktor – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Coraza Integrated Technology Berhad diunjur terus lemah pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) memandangkan cabaran makroekonomi dan kelembapan keseluruhan permintaan semikonduktor, menurut RHB Investment.

 

Firma penyelidikan itu berkata pendapatan kumpulan dijangka terus perlahan pada suku-suku berikutnya kerana cabaran berterusan dan perbelanjaan modal yang perlahan dalam sektor semikonduktor.

 

Walaupun permintaan berpotensi pulih pada FY24, firma itu berpendapat bahawa ia tidak akan sepadan dengan paras tertinggi FY22.

 

Menurut firma itu, Gartner meramalkan bahawa hasil semikonduktor 2023 akan turun sebanyak 10.9%, mencerminkan keadaan pasaran yang mencabar dihadapi oleh Coraza, memandangkan kira-kira 60% daripada hasilnya adalah daripada industri semikonduktor.

 

“Kami menjangkakan pendapatan perlahan pada 2HFY23, selaras dengan trend sektor dan panduan pengurusan, sebelum potensi pemulihan dalam FY24, didorong oleh kehabisan inventori di tangan pelanggan dan kejayaan projek baharu,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Oleh itu, RHB Investment mengurangkan unjuran pendapatan FY23-25 sebanyak 61%, 21% dan 19% kerana anggaran firma sebelum ini terlalu optimistik di tengah-tengah kitaran menurun berpanjangan, perbelanjaan modal yang berhati-hati untuk sektor tersebut dan peningkatan kos input.

 

Firma terbabit juga menyemak semula andaian pencairan pendapatan sesaham (EPS) kepada 15% daripada 20% selepas kumpulan itu telah menyelesaian penempatan persendirian dengan menjana RM40.6 juta.

 

Oleh demikian, firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada 57 sen sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan FY24 tidak berubah sebanyak 20 kali, diskaun kira-kira 30% kepada pesaing dan selepas menggunakan diskaun ESG sebanyak 4%.

 

Mengulas mengenai perkembangan baharu kumpulan, RHB Investment berkata pembinaan pembesaran loji bersebelahan seluas 91,000 kaki persegi baharunya, bakal siap sedia menjelang suku pertama tahun depan, seharusnya membolehkan Coraza meningkatkan kapasitinya dan meluaskan keupayaan pemesinan untuk komponen toleransi tinggi dan kompleks.

 

“Pada masa yang sama, pengembangan akan membolehkannya meluaskan pangkalan pelanggan melebihi pelanggan semasanya untuk mengurangkan risiko khusus sektor.

 

“Kumpulan itu juga mengambil peluang untuk menaik taraf kemudahan dan infrastrukturnya, agar bersedia untuk memenuhi lantunan semula yang dijangka dalam sektor semikonduktor pada FY24,” tambahnya.

 

Setakat pukul 9:44 pagi ini, saham Coraza kekal pada 56.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM278.9 juta. - DagangNews.com