KUALA LUMPUR 28 Dis - Country Heights Holdings Bhd. (CHHB) menjalin perjanjian pelesenan dan kerjasama dengan Beijing Wodong Tianjun Information Technology Co Ltd (JD.com) sebagai sebahagian daripada pelan transformasi digital.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, kumpulan berkata, perjanjian tersebut bagi membangunkan model perniagaan omni-channel JD.com menggunakan teknologi JD.Com dan sumber CHHB dalam pasaran Malaysia.
JD.com ialah peruncit dalam talian B2C di China, dan ia bermula sebagai stor magneto-optik dalam talian tetapi tidak lama kemudian mempelbagaikan, menjual elektronik, telefon mudah alih, komputer dan item yang serupa.
Menurut CHHB, JDMines Sdn. Bhd. akan ditubuhkan bagi mengendalikan inisiatif tersebut dan ia akan dimiliki 70% oleh CHHB manakala selebihnya dimiliki Star Pulse Sdn. Bhd., inkubator teknologi yang akan bekerjasama dengan CHHB dari segi pelaksanaan model perniagaan omni-channel.
"Dengan kerjasama ini, JDMines akan membina kedai fizikal pertama kira-kira 100,000 kaki persegi daripada ruang runcit di tingkat bawah Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines," katanya.
Menurutnya, JD.com telah melabur dalam teknologi tinggi dan kecerdasan pintar (AI) menerusi dron, teknologi autonomi dan robot serta memiliki sistem penghantaran dron, infrastruktur dan keupayaan terbesar di dunia.
"Baru-baru ini, ia mula menguji perkhidmatan penghantaran robotik dan membina lapangan terbang penghantaran dron serta mengendalikan penghantaran tanpa pemandu dengan memperkenalkan trak autonomi pertamanya," tambahnya.
Perjanjian tersebut bagi tempoh 10 tahun itu akan dilaksanakan dalam 3 peringkat iaitu pada peringkat pertama membabitkan perkhidmatan khidmat rundingan terhadap pelanggan, pasaran tempatan dan trend perniagaan.
Bagi peringkat kedua, ia merangkumi pelan kebolehlaksanaan, pendigitalan kedai, penghantaran peruncitan dalam talian dan perniagaan e-dagang serta penyelesaian operasi kedai dengan omni-channel.
Peringkat ketiga pula membabitkan pelaksanaan perkhidmatan termasuk konfigurasi rantaian produk dan bekalan, latihan kakitangan bagi operasi dan pengurusan penyelesaian digital, pemasangan dan konfigurasi perkakasan, penyesuaian perisian, konsep reka bentuk dan pelaksanaan.
Pelaksanaan perjanjian tersebut dijangka tidak memberi kesan ketara kepada pendapatan, aset bersih, gearan, modal saham dan pemegangan utama CHHB.
Saham CHHB kembali diniagakan 2.30 petang ini setelah digantung pagi ini sementara menanti pengumuman berkenaan.
Setakat 2.57 petang, harga sahamnya menokok 4 sen atau 2.61% kepada RM1.57 dengan 1.69 juta saham diniagakan. - DagangNews.com