COVID: 153 kematian direkod hari Ahad, jumlah tertinggi setakat ini | DagangNews Skip to main content

COVID: 153 kematian direkod hari Ahad, jumlah tertinggi setakat ini

KUALA LUMPUR 19 Julai - Malaysia merekodkan kes kematian harian tertinggi akibat jangkitan COVID-19 selama dua hari berturut-turut dengan 153 kes dilaporkan pada Ahad, berbanding 138 kes Sabtu, sekali gus angka tertinggi sejak pandemik itu melanda negara. 

 

Ini menjadikan jumlah kes kematian akibat virus itu di Malaysia setakat ini kepada 7,019 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

 

Beliau berkata, daripada jumlah kematian direkodkan hari ini, 125 kematian membabitkan warga negara dan 28 warga asing.

 

Ia melibatkan 82 kes di Selangor; Kuala Lumpur (17); Negeri Sembilan (14); Johor (10);  Kedah (lapan), Pahang (enam);  Melaka (lima); masing-masing dua kes di Sabah, Pulau Pinang, dan Putrajaya serta masing-masing satu kes di Terengganu, Sarawak, Kelantan, Perak, dan Labuan.

 

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 5,778 kes sembuh direkodkan Ahad menjadikan jumlah kumulatif 779,171 orang manakala 909 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) dan 445 kes memerlukan bantuan pernafasan.

 

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif kini sebanyak 124,593 kes, katanya menerusi kenyataan media berhubung perkembangan semasa COVID-19 pada Ahad, lapor Bernama.

 

Sementara itu, mengenai perincian 10,710 kes baharu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak  95 kes (0.9%) adalah dari kategori lima (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan) dan 45 kes (0.4%) kategori empat (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen).

 

Sebanyak 91 kes (0.9%) pula adalah kategori tiga (radang paru-paru), 4,162 kes (38.9%) kategori dua (bergejala ringan) dan 6,317 kes (59.0%) kategori satu (tidak bergejala). 

 

Jelasnya walaupun secara keseluruhannya hanya 2.1% atau 231 kes dilaporkan berada pada kategori tiga hingga lima, namun tempoh masa lama diperlukan bagi kes-kes itu diberi jagaan di wad dan ICU.

 

Beliau menjelaskan, bagi kes kategori lima, purata tempoh jagaan di ICU adalah selama 21 hari dan kategori empat (14 hari), sementara kategori tiga (memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama bagi yang berisiko tinggi).

 

"Ini sekali gus mengakibatkan kapasiti katil yang sememangnya terhad kian hari menjadi semakin penuh dan sesak," katanya. - DagangNews.com