Harga rumah di Lembah Klang diramal naik 3% hingga 4% tahun ini - Sean Tan | DagangNews Skip to main content

Harga rumah di Lembah Klang diramal naik 3% hingga 4% tahun ini - Sean Tan

KUALA LUMPUR 6 Jan - Harga rumah dua tingkat di Lembah Klang terutamanya di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, diramal meningkat antara 3% hingga 4% tahun ini.

 

Pempengaruh hartanah popular dan YouTuber, Sean Tan berkata, unjuran tersebut melibatkan kawasan permintaan tinggi seperti Desa ParkCity, Bangsar dan Mont Kiara di Kuala Lumpur.

 

Beliau berkata, bagi mereka yang mencari rumah bertanah di Lembah Klang, hartanah jenis itu terus menunjukkan prestasi yang baik terutamanya komuniti berpagar dan mempunyai perkhidmatan pengawal keselamatan kerana pembeli mahukan kediaman yang selamat.

 

"Di kawasan seperti Desa ParkCity di mana unit kediamannya terhad dengan kualiti hidup yang tinggi, harganya kini melambung," katanya kepada Bernama selepas muncul dalam program The Nation: terbitan Bernama TV yang dihoskan oleh Gerard Ratnam.

 

Bagaimanapun Sean berkata, harga mungkin mencecah harga siling bagi rumah bertanah terutamanya di kawasan kejiranan lama seperti SS2 (PJ) dan Kepong (KL) disebabkan kekangan kemampuan dan persaingan daripada pembangunan yang baharu dan lebih selamat.

 

Beliau juga berkata, hartanah perindustrian bakal menjadi mencatatkan prestasi baik pada 2025, terutamanya di Johor dan Lembah Klang dengan lokasi seperti Jelutong di Pulau Pinang dan Lagong di Selangor menjadi lokasi popular.

 

Secara keseluruhan, Sean berkata, pasaran hartanah tahun ini dijangka menyaksikan beberapa siri anjakan yang dibentuk oleh keadaan ekonomi, pembangunan kemudahan dan pilihan pembeli yang berubah-ubah.

 

"Untuk mendapatkan tawaran terbaik berdasarkan keutamaan, saya menggesa pembeli untuk melihat data, memahami dinamik permintaan-bekalan unit kediaman dan menyedari perkembangan kemudahan yang boleh menjejaskan nilai hartanah secara mendadak.

 

"Jika anda seorang pembeli rumah kali pertama, fokus untuk mencari tempat yang memenuhi keperluan anda pada harga berpatutan. Jika anda mahu melabur, pastikan anda menyasarkan kawasan dengan hasil sewa kukuh, bekalan unit kediaman terhad dan melilhat kepada pertumbuhan masa depan," katanya.

 

Mengulas lanjut mengenai hartanah perindustrian dengan lokasi seperti Jelutong dan Lagong yang menjadi kawasan popular tahun ini, Sean berkata, ia didorong oleh harga tanah yang kompetitif dan pembangunan kemudahan baharu.

 

"Syarikat multinasional akan berminat kerana tanah kita masih murah dan ia mendorong banyak perbandaran di sekitar Lembah Klang," katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, penyiapan projek infrastruktur baharu seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kelantan ke Selangor dan Transit Aliran Ringan di Pulau Pinang akan memastikan prestasi jualan hartanah lebih baik di kawasan mempunyai rangkaian pengangkutan tersebut.

 

Selain itu, Sean berkata, beliau melihat Pahang, Kelantan dan juga kawasan seperti Puncak Alam menawarkan peluang pertumbuhan.

 

Beliau berkata, kejayaan pembangunan perindustrian dan lebuh raya seperti Lebuhraya Pantai Barat, mengubah kawasan yang tidak mendapat perhatian sebelum ini menjadi lokasi untuk pembangunan hartanah. - DagangNews.com