COVID-19 : 74% milenial di Malaysia sukar urus kewangan  | DagangNews Skip to main content

COVID-19 : 74% milenial di Malaysia sukar urus kewangan 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Krisis COVID-19 secara dasarnya memberi impak yang cukup besar terhadap semua orang terutama dari segi pengurusan kewangan.

 

Menurut Kaji Selidik Global Standard Chartered yang terkini, golongan milenial berumur 25 hingga 44 tahun di seluruh dunia tidak terkecuali berdepan masalah ini apabila 41% daripadanya didapati  sukar menguruskan perbelanjaan harian manakala 35% pula mendapati pinjaman mereka meningkat berbanding bulan sebelumnya.

 

Kaji selidik itu yang dijalankan secara dalam talian melibatkan 12,000 responden di 12 pasaran ekonomi termasuk Malaysia untuk melihat sejauh mana pandemik COVID-19 mengubah pengurusan perbelanjaan setiap hari. 

 

Berdasarkan kaji selidik itu, didapati 74% golongan milenial di Malaysia sukar menguruskan kewangan mereka sejak bermulanya penularan COVID-19 manakala 107% merasakan mereka tidak boleh mengawal baki dalam akaun bank berbanding yang berumur lebih 45 tahun. 

Kaji selidik global Standard Chartered
Kaji selidik global Standard Chatered yang dijalankan melibat 12,000 responden. 
​​​​​

 

Sementara itu, 23% menyaksikan pinjaman mereka meningkat bulan lalu berbanding 15% bagi yang berumur 45 tahun ke atas. 

 

Walaupun berdepan cabaran itu, golongan milenial tetap aktif dalam memenuhi matlamat kewangan jangka panjang dengan 34% menyimpan untuk pembelian utama seperti rumah dan kereta berbanding 20% untuk mereka yang berumur 45 tahun ke atas manakala 45% berusaha menyimpan untuk persaraan (45 tahun pula 44%). 

Abrar A.Anwar
Abrar A.Anwar

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered, Abrar A.Anwar berkata, golongan milenial menunjukkan rasa tanggungjawab terhadap kewangan mereka selepas pandemik COVID-19. 

 

"Tidak dinafikan krisis ini akan membentuk generasi berkenaan sepanjang hidup mereka. Menerusi perniagaan teras kami dalam perbankan, kami memainkan peranan penting dalam menyediakan nasihat dan perkhidmatan kewangan. 

 

"Ini dapat membantu memperkasa golongan ini dalam merancang kewangan masa depan yang sukar diramal dan membina versi mereka yang lebih baik dalam komuniti," katanya. 

 

Menurut kaji selidik itu juga, hanya 21% rakyat Malaysia yang berumur lebih 45 tahun lebih yakin mereka akan mencapai matlamat kewangan manakala yg berumur 55 tahun ke atas kurang yakin sejak pandemik ini bermula. 

 

Didapati separuh daripada responden (54%) berkata, mereka akan menyimpan wang tunai sebagai persediaan jika berlaku kecemasan manakala hanya 3% sahaja akan menggunakan duit itu untuk bercuti ke luar negara. - DagangNews.com