COVID-19 bukan penghalang pelajar ACCA Malaysia raih No.1 di peringkat dunia | DagangNews Skip to main content

COVID-19 bukan penghalang pelajar ACCA Malaysia raih No.1 di peringkat dunia

Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi (kanan) dan Lim Hui Ning antara empat pelajar ACCA Malaysia yang menduduki tempat pertama di dunia dalam Peperiksaan Jun 2021.

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Empat pelajar ACCA (Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun) mencapai keputusan cemerlang dalam kertas Jun 2021, sekaligus membanggakan negara menerusi peperiksaan yang julung kali dijalankan secara Pengawasan Peperiksaan Jarak Jauh sepenuhnya meskipun berdepan dengan cabaran pandemik.

 

Di antara 103,000 pelajar yang menduduki peperiksaan itu dari serata dunia, ramai pelajar Malaysia tersenarai dalam 25 kedudukan terbaik, dengan empat orang menguasai tempat teratas di seluruh dunia.

 

Dalam kategori ACCA Qualification, Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi berada di tempat pertama bagi Pengurusan Kewangan (Financial Management), dan juga mencapai markah tertinggi di seluruh negara dalam Laporan Strategi Perniagaan (Strategic Business Reporting), manakala Ng Jia Hui pula mendapat markah tertinggi di seluruh dunia untuk Audit dan Jaminan (Audit and Assurance).

 

Pelajar Asasi Perakaunan (Foundation in Accountancy) juga mempamerkan keputusan yang mengagumkan, dengan Lim Hui Ning mendapat markah tertinggi di seluruh dunia untuk dua kertas, Asas Percukaian (Foundation in Taxation) dan Asas Audit (Foundation in Audit), sementara Joleyn Chan pula cemerlang dalam kertas Maklumat Pengurusan (Management Information).

 

Turut menyertai kedudukan mereka ialah Kok Xue Min yang mendapat tempat #1 di seluruh negara dalam kalangan anggota gabungan (affiliate) ACCA Malaysia.

 

Ketua Portfolio, ACCA Maritime Asia Tenggara, Edward Ling berkata, pelajar Malaysia secara konsisten mendapat kedudukan yang baik dalam peperiksaan ACCA, dan pencapaian mereka tahun ini lebih mengagumkan kerana mereka teguh bertahan mengharungi pandemik dan semua ketidaktentuannya.

 

Menurutnya, sepanjang tempoh yang mencabar ini, ACCA berusaha memberikan pelajar sokongan yang perlu untuk peperiksaan maya mereka, seperti akses ke sumber pembelajaran digital yang dipertingkatkan merangkumi siri webinar dan audio siar (podcast) dengan tutor pakar bagi menekankan teknik dan petua peperiksaan yang penting untuk berjaya, serta aplikasi Akauntan Pelajar (Student Accountant) dan sumber pembelajaran Pengalaman Praktikal kami yang menyediakan bimbingan belajar yang penting.

 

"Kami juga menggalakkan pelajar untuk menggunakan Platform Latihan Peperiksaan ACCA, yang membolehkan mereka mengambil peperiksaan tahun-tahun sebelum ini di platform berkenaan yang menyerupai peperiksaan RI sebenar.

 

“Pengawasan Peperiksaan Jarak jauh adalah penting bagi sesi terakhir ini demi melindungi kesihatan dan keselamatan semua yang terbabit. Bagaimanapun, di sebalik ganggguan ini, kami gembira kerana lebih 3,000 peperiksaan dengan kawalan peperiksaan jarak jauh berjaya diadakan, dan setiap pelajar kami telah membanggakan keluarga dengan keputusan cemerlang mereka. Kami ucapkan setinggi-tinggi tahniah,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pelajar terbaik Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi, pelajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, berterima kasih kepada sumber digital ACCA dan sokongan keluarga, rakan-rakan dan pensyarah atas pencapaiannya.

 

“Untuk persediaan, saya menggunakan Platform Pembelajaran CEB ACCA dan memanfaatkan teknik yang diajar oleh pensyarah kami. Saya juga sangat berterima kasih atas semua sokongan moral dan praktikal yang saya terima daripada semua orang, kerana ia sememangnya memberi motivasi dan keyakinan untuk saya melakukan yang terbaik dalam peperiksaan. Setelah menjalani peperiksaan jarak jauh, saya berasa yakin bahawa saya boleh menyesuaikan diri dengan keadaan yang mudah berubah pada masa depan,” ujarnya.

 

Lim Hui Ning, pelajar Asasi Perakaunan ACCA di Sunway TES Centre for Accountancy Excellence, mengakui pencapaian bergandanya itu adalah hasil daripada ketekunan.

 

Katanya, “Saya memilih FIA ACCA kerana ia menawarkan laluan paling efisien untuk melengkapkan kelayakan saya, di samping memberikan saya pelbagai kemahiran dan kecekapan untuk menjadi juru audit yang mantap pada masa depan. Malah, bagi saya ia adalah titik permulaan yang bagus untuk sesiapa sahaja yang ingin memiliki kerjaya yang memuaskan dalam bidang perakaunan dan kewangan.”

 

Bagi Kok Xue Min, “Saya menghabiskan masa berjam-jam berlatih menjawab kertas peperiksaan tahun-tahun lalu di laman web ACCA untuk membiasakan diri dengan format pengawasan peperiksaan jarak jauh,” katanya. “Sumber-sumber dalam talian dan bimbingan para pensyarah turut menyumbang kepada pencapaian ini.”

 

Mengiktiraf kesungguhan pelajar terbaik dalam menghadapi kesukaran akibat pandemik, Ling menambah, “Pencapaian mereka memang sesuatu yang sangat wajar, dan ia tentunya menjadi sumber inspirasi kepada semua golongan muda Malaysia yang berusaha untuk berjaya dalam bidang pengajian masing-masing.

 

“Saya ingin meyakinkan para pelajar bahawa kami akan terus memberi sokongan penuh dalam perjalanan mereka bersama ACCA pada masa-masa yang mencabar ini, dan bekerjasama dengan rakan pembelajaran kami untuk meningkatkan pengalaman peperiksaan, sama ada secara RI atau di pusat peperiksaan apabila selamat dan sesuai untuk berbuat demikian.”  - DagangNews.com