COVID-19 dunia terus meningkat lebih 15 juta | DagangNews Skip to main content

COVID-19 dunia terus meningkat lebih 15 juta

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

LONDON 22 Julai - Penularan wabak COVID-19 di peringkat global melonjak lebih 15 juta susulan setiap negara mempunyai momentum tindakan yang berbeza-beza.

Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jumlah kes tertinggi di dunia dengan jumlah 3.91 juta jangkitan.

Jumlah tersebut memaksa Presidennya, Donald Trump memberi amaran bahawa situasi tersebut akan bertambah buruk sebelum pulih.

Lima negara teratas lain adalah Brazil, India, Rusia dan Afrika Selatan.

Menurut Reuters, penularan wabak itu semakin cepat merebak di AS yang akan menyumbang lebih daripada separuh jumlah jangkitan di dunia  dan separuh jumlah kematiannya.

covid19

"Di peringkat global pula, jumlah jangkitan baharu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kepada pengurangan," jelas Reuters.

Kes pertama mula dilaporkan di Wuhan, China pada awal Januari 2020 dengan jumlah jangkitan sebanyak dua juta dalam masa 15 minggu.

Kini, jumlah jangkitan yang telah melebihi 15 juta hanya mengambil masa lapan hari berbanding 13 juta yang direkodkan pada 13 Julai.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah rasmi kes COVID-19 ialah sebanyak 15,009,213 dengan peningkatan tiga kali ganda daripada jumlah penyakit selsema yang dicatatkan setiap tahun.

covid19

Manakala jumlah kematian pula adalah lebih daripada 616,000 dalam masa tujuh bulan yang sama dengan jumlah tertinggi kematian akibat selsema pada setiap tahun.

Di Brazil, lebih daripada 2.15 juta orang didapati positif COVID-19 termasuk Presidennya, Jair Bolsonaro dengan jumlah kematian melebihi 81,000.

India pula mencatatkan hampir 40,000 kes baharu hari ini dengan jumlah keseluruhan melebihi satu juta kes disamping Arfika Selatan yang mencatatkan 372,628 kes dengan 5,173 kematian. - DagangNews.com