ISKANDAR PUTERI 21 Mei – Langkah mewujudkan hab atau stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan antara Kuala Lumpur dan Singapura di Forest City, di sini akan menjadikan kawasan pembangunan itu sebagai hab ekonomi selatan Malaysia.
Perkara itu diakui syarikat perunding hartanah tempatan, Ho Chin Soon Research (HCS) yang turut memainkan peranan dalam perancangan bandar-bandar di Malaysia sejak 36 tahun lalu termasuklah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif HCS, Ishmael Ho berkata, impak kepada pembinaan HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu perlu dilihat dalam tempoh jangka masa panjang kepada negara ini.
Katanya, perkhidmatan itu merupakan pilihan terbaik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan juga Johor, khususnya inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ).
Tambahnya, ia juga selari dengan hasrat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menjadikan negeri selatan tanah air ini sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
"Sehubungan itu, kami berharap kerajaan akan dapat merealisasikan hasrat menjadikan negara ini sebagai sebuah kuasa ekonomi di rantau Asia Tenggara dengan adanya kemudahan pengangkutan awam seumpama itu," jelasnya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu perkara itu dilaksanakan bertitah, ia bakal beri impak positif bukan sahaja kepada kawasan berkenaan, tetapi juga limpahan ekonomi kepada seluruh wilayah Iskandar Malaysia.
Dalam masa sama, kajian dibuat HCS turut meletakkan Hab HSR Forest City sebagai satu kawasan penting bagi menjayakan laluan Rel Keretapi Pan Asia yang menghubungkan kawasan utara Kunming, China dan selatan Jakarta, Indonesia.
Forest City mempunyai potensi menjadi hab HSR selain turut membuka pasaran baharu di sepanjang laluan rel berkenaan termasuklah pasaran Indonesia yang mempunyai potensi tinggi dengan jutaan penduduk dan kuasa beli.
HCS berharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan perancangan itu secara serius sejajar usaha meningkatkan ekonomi Malaysia dengan mengukuhkan kerjasama bersama Singapura dan Indonesia.
Sementara itu, Pengerusi HCS, Ho Chin Soon pula berkata, titah cadangan Sultan Ibrahim itu akan menyokong usaha kerajaan menjayakan pelbagai projek ekonomi berimpak tinggi khususnya JS-SEZ dan SFZ.
Menurut beliau, pemilihan Forest City sebagai lokasi stesen atau hab akan menjadi pemangkin bukan sahaja dalam aspek ekonomi, tetapi juga pembinaan infrastruktur serba lengkap dan pelbagai subsektor ekonomi hiliran yang akan memberi manfaat positif kepada penduduk setempat.
Tambahnya, dengan mengambil kira pengumuman kerajaan negeri berhubung cadangan pembinaan sistem pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) atau sistem Aliran Transit Automasi (ART) Bertingkat di Johor Bahru dan kemudahan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Forest City mampu menjadi hab pengangkutan utama di rantau ini.
"Sistem pengangkutan rel akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada Johor dan Malaysia kerana ia merupakan bentuk pengangkutan terbaik dibandingkan dengan pengangkutan lain seperti kereta atau bas.
"Ini kerana pembangunan ekonomi di Singapura sudah hampir mencapai tahap matang dan mereka memerlukan lokasi baharu untuk melebarkan lagi ekonominya. Iskandar Malaysia termasuk Forest City yang terletak bersebelahan republik itu berkongsi ekosistem ekonomi yang sama sekali gus membolehkan perkembangan lebih seiring antara kedua-duanya," katanya. - DagangNews.com