Mieco Chipboard jual 17.76 hektar tanah industri di Pahang kepada G-Force pada harga RM40 juta | DagangNews Skip to main content

Mieco Chipboard jual 17.76 hektar tanah industri di Pahang kepada G-Force pada harga RM40 juta

Gambar hiasan dari laman web rasmi Mieco Chipboard Bhd (MCB)
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - Mieco Chipboard Bhd (MCB) menjual dua bidang tanah industri di Kuantan, Pahang bersama-sama dengan bangunan atas tanah itu kepada G-Force Sdn Bhd (GFSB) pada harga RM40 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar produk kayu kejuruteraan berkata, unit milik penuh tidak langsungnya, Mieco Manufacturing Sdn Bhd (MMSB), telah menandatangani perjanjian jual beli tersebut.

 

Katanya, penjualan tanah seluas 17.76 hektar merangkumi kilang, gudang dan bangunan sampingan itu dijangka siap pada separuh kedua tahun 2025.

 

“Sepanjang tahun kewangan 2023, MCB menyatukan operasi kilang Gebeng di kilang Kuala Lipis bagi mengurangkan kos overhed tetap dan meningkatkan kecekapan pengeluaran.

 

"Memandangkan persekitaran perniagaan yang tidak menentu, kami memutuskan keputusan untuk menjual tanah bagi mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan," katanya.

 

MCB menganggarkan kerugian bersih selepas penjualan tanah sebanyak ialah RM2.454 juta, bersamaan dengan kerugian 25 sen sesaham.

 

GFSB terlibat dalam penyediaan pengangkutan dan aktiviti pergudangan dengan modal saham terbitan RM1 juta setakat 16 Januari 2025. 

 

Pengarah GFSB ialah Ong Wei Kuan, Christina Ong Chu Voon dan Ong Yong Meng. - DagangNews.com