FB, WhatsApp, Telegram, TikTok paling aktif digunakan 'scammer' - Kementerian Komunikasi | DagangNews Skip to main content

FB, WhatsApp, Telegram, TikTok paling aktif digunakan 'scammer' - Kementerian Komunikasi

KUALA LUMPUR 20 Jan - Facebook (Meta), Whatsapp, Telegram dan TikTok dikenal pasti menjadi platform yang paling kerap digunakan untuk memerangkap mangsa 'scammer'.

 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata selain itu penjenayah siber juga menjalankan aktiviti penipuan menerusi aplikasi Telegram dan TikTok kerana berasakan platform itu kerap digunakan.

 

Beliau berkata, beberapa langkah sudah diambil pihaknya termasuk melesenkan platform media sosial serta membuat pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menangani jenayah siber.

 

"Sejumlah RM500 juta kerugian dicatatkan oleh mangsa yang menjadi mangsa sindiket scammer pada 2023 dan itu hanya melalui FB, malah kita jangka angkanya jauh lebih besar jika membabitkan media sosial lain.

 

    "Beberapa langkah sudah diambil antaranya melesenkan platform media sosial, menyekat beberapa perkara termasuk takrif kepada jenayah scam serta pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia yang sudah diluluskan di Dewan Rakyat," katanya selepas program Ihsan Komuniti Madani di Kampung Baru Nelayan, Tumpat di Kelantan hari ini.

     

    Fahmi berkata, pihaknya bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan melancarkan kempen besar-besaran untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perkara itu.

     

    Kempen itu akan bermula di sekolah untuk memberi penjelasan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, guru dan murid terutama berusia bawah di 13 tahun.

     

    "Penerangan akan diberikan berhubung cara terbaik memanfaatkan media sosial dengan selamat untuk mengelak menjadi mangsa scam, selain memastikan data peribadi kekal selamat," katanya.

     

    Mengulas lanjut, Fahmi berkata, usaha dijalankan pihaknya sentiasa ada penambahbaikan serta seiring dengan perkembangan semasa kerana strategi penjenayah siber sering berubah.

     

    Katanya, scammer turut menjadikan bantuan kerajaan sebagai kaedah penipuan, sekali gus mampu memperdaya mangsa.

     

    "Dalam TikTok contohnya antara bentuk penipuan paling kerap berlaku ialah (menggunakan) akaun bantuan kerajaan yang mana maklumatnya kelihatan betul, tetapi mereka (penjenayah) mohon mangsa hantar 'direct message' atau tekan link yang palsu.

     

    "Dari situlah scammer mendapatkan maklumat data peribadi dan berusaha mencuri wang rakyat, maka kita lihat pelbagai platform akan ada perubahan sama ada dari segi sistemnya, algoritma atau kawal selia.

     

    "Perkara ini akan berubah maka kita usahakan untuk disesuaikan pada hari ini seterusnya ada penyesuaian di masa depan," katanya. - DagangNews.com