Datasonic peroleh lanjutan kontrak bernilai RM150.45 juta daripada KDN | DagangNews Skip to main content

Datasonic peroleh lanjutan kontrak bernilai RM150.45 juta daripada KDN

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - Datasonic Group Bhd menerima surat lanjutan kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan nilai gabungan RM150.45 juta. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, lembaga pengarah kumpulan berkata, surat lanjutan tersebut diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB). 

 

"Menerusi surat itu, KDN melanjutkan kontrak selama 12 bulan berkuatkuasa pada 1 Disember 2024 sehingga 30 November 2025.

 

"Lanjutan kontrak ini merangkumi DTSB membekalkan dokumen passport Malaysia yang kini berjumlah RM335.66 juta dan menyediakan halaman biodata polikarbonat, membawa kepada jumlah kumulatif RM466.14 juta. 

 

Datasonic

 

"Selaras dengan pelanjutan, DTSB juga akan dikehendaki menyediakan bon prestasi baharu atau tambahan dengan lanjutan tempoh sah sehingga 30 November 2026," katanya. 

 

Sementara itu, sambungan kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Datasonic untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 dan seterusnya.  - DagangNews.com