KUALA LUMPUR 20 Jan - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan panduan ringkas, Navigating the Transition: A Guide for Boards (Panduan Lembaga) untuk menyokong lembaga pengarah syarikat mengguna pakai Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF).
Dilancarkan pada September 2024, NSRF merupakan langkah penting dalam memajukan agenda kemampanan korporat Malaysia.
Penerbit tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia dan ACE, serta syarikat besar tidak tersenarai (NLCos) dengan hasil tahunan sebanyak RM2 bilion dan ke atas, perlu mematuhi keperluan pelaporan baharu dalam pendekatan berperingkat.
NSRF menekankan penggunaan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa IFRS yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB), termasuk IFRS S1 dan IFRS S2.
Piawaian itu dibuat bagi memastikan bahawa laporan kewangan yang berkaitan dengan kemampanan adalah konsisten dan boleh dibandingkan antara satu syarikat dengan syarikat yang lain.
Panduan Lembaga memberikan langkah-langkah yang mudah dan boleh dilaksanakan oleh lembaga pengarah dalam beberapa bidang utama seperti tadbir urus, sempadan data kemampanan, penilaian impak kewangan dan penyepaduan dengan sistem pengurusan risiko perusahaan.
Syarikat besar (permodalan pasaran RM2 bilion dan ke atas) yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia memulakan pelaksanaan NSRF tahun ini, menggariskan komitmen Malaysia terhadap amalan terbaik global dalam kemampanan korporat.
Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata, NSRF bukanlah alat pematuhan, tetapi rangka tindakan untuk menerapkan kemampanan dalam pertimbangan keputusan korporat.
"Dengan panduan ini, kami melengkapkan lembaga bukan hanya untuk memenuhi piawaian global, tetapi juga untuk memimpin dengan tujuan dan ketahanan dalam membentuk masa depan yang mampan untuk Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Untuk terus menyokong peralihan tersebut, Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kelestarian (ACSR), telah memperkenalkan PACE (Dasar, Andaian, Kalkulator, Pendidikan), satu inisiatif yang menawarkan latihan, alatan dan sumber untuk memenuhi keperluan NSRF dalam menerima pakai piawaian ISSB.
Inisiatif PACE lain yang akan datang termasuk Modul Kebolehoperasian antara Inisiatif Pelaporan Global (GRI) dan Piawaian Pendedahan Kemampanan IFRS, Laporan Kemampanan Ilustrasi untuk menyediakan rujukan ilustrasi kepada syarikat sebagai garis panduan kepada laporan mereka dan Program Penyedia NSRF untuk membina kapasiti. - DagangNews.com