COVID-19 ‘heret’ hasil FY20 Ecoworld susut RM466 juta | DagangNews Skip to main content

COVID-19 ‘heret’ hasil FY20 Ecoworld susut RM466 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Hasil yang diperoleh syarikat hartanah Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) pada tahun kewangan 2020 berakhir 31 Oktober lalu susut RM465.64 juta kepada RM1,996.68 juta berbanding tahun lalu. 

 

EcoWorld dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kemerosotan itu berikutan FY19 merupakan tahun kumpulan syarikat itu mencapai jumlah projek yang siap dan penyerahan hartanah yang dijual sejak awal tertinggi.

 

“Dalam pada itu, hasil yang diperoleh pada tempoh itu terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memerlukan semua galeri kumpulan syarikat ditutup bermula 18 Mac hingga 3 Mei 2020.

 

“Ini memberi impak teruk kepada tempahan jualan pada suku kedua 2020 (2Q20) dan kebanyakan aktiviti di kawasan pembinaan dihentikan bermula 18 Mac hingga pertengahan Jun 2020,” kata EcoWorld hari ini.

 

Bagi perbandingan suku tahunan, suku keempat 2020 (4Q20) Ecoworld mencatatkan jumlah hasil tertinggi sepanjang tahun kewangan semasa ekoran lonjakan semula jualan dan projek pembinaan yang diteruskan. 

 

Bagaimanapun, jumlah itu menurun 29.9% pada tempoh sama iaitu RM635.46 juta daripada RM906.54 juta pada 4Q19. 

 

Secara keseluruhannya, keuntungan sebelum cukai (PBT) pada FY20 menyusut RM96.93 juta kepada RM169.05 juta daripada RM265.98 juta pada FY19.

 

Jelas EcoWorld, ini disebabkan oleh penghapusan inventori pada 3Q20 sebanyak RM65 juta dan 4Q20 (RM33 juta).

 

“Keuntungan yang lebih rendah itu bagaimanapun telah dikurangkan oleh langkah pengurangan kos yang dilaksanakan, menjimatkan sehingga RM84.5 juta dalam perbelanjaan jualan, pemasaran, dan pentadbiran serta kos kewangan yang lebih rendah dan saham lebih Tinggi daripada usaha sama di Malaysia. 

 

“Jika bukan kerana penghapusan inventori itu, PBT kumpulan syarikat mampu mencatatkan RM267.9 juta, iaitu lebih tinggi daripada PBT FY19 sebanyak RM266 juta,” tambah EcoWorld.

 

EcoWorld mengisytiharkan dividen sulung bernilai 2 sen sesaham bagi tahun kewangan semasa.

 

Melangkah ke hadapan, EcoWorld berhasrat untuk membina rangkaian dengan pemain industri tempatan dan asing yang lebih kukuh serta mewujudkan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mempromosi dan meluluskan projek pembangunan di Iskandar Malaysia dan Selangor.

 

Memasuki FY21, Ecoworld menyasarkan untuk mengembangkan syer dalam pasaran penting disokong oleh persekitaran cukai menarik dan insentif lain ditawarkan kerajaan. 

 

Sementara itu, dari segi prestasi kewangan hasil projek antarabangsa oleh EcoWorld International Berhad, kumpulan syarikat itu mencatatkan keuntungan kasar FY20 lebih tinggi iaitu RM99.99 juta berbanding RM0.48 juta pada FY19.

 

“Keuntungan kasar yang lebih tinggi pada tahun kewangan semasa terutamanya didorong oleh permulaan pendapatan dan pengiktirafan keuntungan West Village (di Australia) setelah selesai dan bermulanya penyerahan unit yang dijual kepada pelanggan,” kata kumpulan syarikat itu dalam makluman berbeza. 

 

EcoWorld International mengunjurkan jualan sehingga RM2.2 bilion pada tahun kewangan 2021. - DagangNews.com