COVID-19: Kerajaan masih waspada buka sempadan negara | DagangNews Skip to main content

COVID-19: Kerajaan masih waspada buka sempadan negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan masih berhati-hati membuka sempadan negara berikutan kebimbangan jangkitan COVID-19.

 

Perdana Menteri berkata, ini disebabkan kes COVID-19 di luar negara masih tinggi.

 

"Walaupun kita telah memulakan dengan Singapura iaitu Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Darat (VTL-Land), dan Indonesia kita sedang bincang untuk memulakan VTL dan sepatutnya ke Thailand untuk VTL daripada Malaysia ke Thailand, tetapi kerana kes makin meningkat di negara-negara luar.

 

"Meskipun kita menggantung pergerakan ke luar negara, tetapi saya lihat bahawa sesetengah negara telah pun mengurangkan daripada segi prosedur operasi standard (SOP) untuk pelancong ke negara mereka. 

 

"Mungkin perkara ini akan dipertimbangkan sebab kita lihat kalau dua dos (vaksin) selesai, booster selesai, saya percaya kita akan bagi sedikit kelonggaran, ini terpulanglah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk beri pandangan," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.

 

Menurut Ismail Sabri, jika kerajaan masih terlalu rigid atau keras (SOP), kesannya adalah kepada industri pelancongan.

 

"Dua hari lepas saya umumkan bahawa kerajaan tidak akan lgi membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat pergerakan rakyat dari segi pergerakan, tidak ada lagi istilah menyekat pergerakan daerah ke daerah atau ke negeri-negeri lagi, cuma yang masih kita tutup sempadan negara.

 

 

pm

 

 

"Bagaimanapun KKM perlu beri pandangan. Saya memang sengaja sebut kita akan buka dan tutup lagi, malah pergerakan dibenarkan. Sebab sudah ada dalam media sosial menyebut rumors yang mengatakan raya ini tak boleh balik kampung, perniagaan akan ditutup kembali. Sebab itu dua hari lepas saya umumkan bahawa tidak akan tutup, raya boleh balik kampung," katanya.

 

 

pm

 

 

Beliau percaya apabila rakyat menerima dua dos vaksinasi dan tambahan booster tidak perlu bimbang daripada segi kerajaan menutup sektor ekonomi dan menyekat pergerakan rakyat. - DagangNews.com