COVID-19: Sabah terima RM50 juta dana tambahan Disember depan | DagangNews Skip to main content

COVID-19: Sabah terima RM50 juta dana tambahan Disember depan

Sabah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Sebanyak RM50 juta dana tambahan akan disalurkan kepada Sabah pada Disember 2020 bagi membantu usaha memerangi wabak COVID-19.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dana tambahan itu adalah langkah susulan kerajaan untuk membendung wabak di negeri berkenaan.

 

"Kementerian Kewangan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 26 Oktober lalu, telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM50 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah khusus untuk memerangi Pandemik COVID-19.

 

"Selain itu, peruntukan RM44 juta juga telah digunakan oleh Kementerian Kesihatan dalam membendung gelombang wabak COVID-19 di Sabah. 

 

"Pada hari ini, sebagai langkah susulan memerangi COVID-19 di Negeri Sabah, sukacita diumumkan bahawa Kementerian Kewangan akan menyalurkan dana tambahan berjumlah RM50 juta lagi menggunakan Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) untuk Negeri Sabah pada bulan Disember 2020," jelas beliau dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Ditanya berkaitan peruntukan tambahan yang perlu diberikan kepada setiap kerajaan negeri, beliau memberitahu, perkara tersebut dilakukan sekiranya terdapat keperluan mendesak.

 

Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM235 juta kepada semua kerajaan negeri bagi tujuan bantuan perbelanjaan COVID-19 termasuk penyelenggaraan infrastruktur yang perlu. 

 

Peruntukan ini telah disalurkan kepada kerajaan negeri melalui kumpulan wang COVID-19. 

 

Selain itu, sejumlah RM427 juta tambahan peruntukan juga telah disediakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

 

"Kerajaan berpandangan peruntukan-peruntukan berkaitan perbelanjaan COVID-19 ini perlu dipusatkan di bawah NADMA bagi memastikan bantuan yang diberikan adalah secara menyeluruh dan jentera kerajaan persekutuan dan negeri dapat bergerak dengan lebih cekap dan berkesan.

 

"Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan yang mendesak, kerajaan komited untuk menyediakan peruntukan tambahan yang diperlukan seperti yang telah kita umumkan untuk Sabah," ujar beliau. - DagangNews.com