COVID: MPN syor kempen kesedaran saringan kendiri, dos penggalak diperkasa | DagangNews Skip to main content

COVID: MPN syor kempen kesedaran saringan kendiri, dos penggalak diperkasa

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini. - Gambar MPN

 

 


KUALA LUMPUR 17 Dis - Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan tiga perkara berdasarkan mesyuarat hari ini, antaranya Kementerian Kesihatan perlu memperkasa kempen kesedaran ujian saringan COVID-19 kendiri dan mendapatkan suntikan dos penggalak.

 


Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu penting sebagai strategi berwaspada terhadap penularan virus COVID-19.

 

“Majlis juga berpendapat perlunya langkah yang proaktif dan lebih ketat dalam mengambil kira kemungkinan ancaman varian Omicron dengan terus mematuhi SOP
(prosesur operasi standard) yang ditetapkan. 

 

“Ini penting dalam mengimbangi kepentingan kesihatan awam dan ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di sini
hari inim lapor Bernama.

 

Beliau berkata, MPN juga bersetuju secara dasar supaya cadangan oleh Jawatankuasa Tindakan Khas Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) disusuli lebih lanjut.

 

Muhyiddin berkata, MPN berpandangan cadangan bantuan kepada sektor PKS perlu lebih bersasar dengan memberi keutamaan untuk sektor yang kritikal.


 

Muhyiddin

 

Muhyiddin

 


Beliau berkata, MPN turut mengesyorkan pengambilan pekerja asing perlu diperluas kepada sektor selain perladangan untuk memastikan sektor ekonomi yang telah dibuka semula dapat beroperasi dengan kapasiti prapandemik.

 

“Dalam hal ini juga, pelaksanaannya perlu disegerakan dan terselaras agar tidak timbul kesulitan kepada pihak industri yang sedang dalam proses pemulihan.

 

“Bagaimanapun, majlis menyarankan agar Jawatankuasa Tindakan Khas PKS mencari penyelesaian untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dalam jangka panjang,” katanya.

 

Taklimat Jawatankuasa Tindakan Khas PKS mengenai isu aliran tunai dan pembiayaan diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

 

Muhyiddin juga berkata, selaras pembukaan semula ekonomi negara seperti yang dirancang dalam Pelan Pemulihan Negara, indikator utama ekonomi semakin menunjukkan momentum pemulihan mengalakkan bagi suku keempat tahun 2021. 

 

Beliau berkata petunjuk keyakinan perniagaan bagi suku keempat tahun 2021 turut bertambah baik dan MPN optimistik bahawa momentum pemulihan itu akan berterusan memasuki tahun 2022.


 

Muhyiddin

 


“Proses pemulihan negara ini perlu diperkukuhkan lagi dengan memastikan semua dasar dan inisiatif pemulihan yang telah diumumkan di bawah Bajet 2022 dilaksanakan dengan segera, terselaras, cekap dan berkesan.

 

“Dalam hal ini, majlis akan terus menyokong usaha kerajaan dalam memulih semula dan meningkat daya tahan semua segmen sosioekonomi,” katanya.

 

Taklimat Jawatankuasa Tindakan Khas PKS mengenai tenaga kerja pula diterajui Kementerian Sumber Manusia. - DagangNews.com