Cradle Fund luluskan geran 28 syarikat pemula berjumlah RM8.24 juta sehingga September 2022 | DagangNews Skip to main content

Cradle Fund luluskan geran 28 syarikat pemula berjumlah RM8.24 juta sehingga September 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Okt - Dalam usaha memperkasakan ekosistem syarikat pemula tempatan, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) meluluskan permohonan 28 syarikat pemula untuk tiga kumpulan pertama menerusi program CIP Spark dan CIP Sprint berjumlah RM8.24 juta sehingga September 2022.

 

Kedua-dua geran bersyarat itu diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dengan misi menyokong perkembangan menyeluruh syarikat pemula melalui pelbagai perkhidmatan nilai tambah bagi menyiapkan mereka dengan pembangunan model perniagaan, penerimaan dan akses pasaran.

 

Naib Presiden Kanan Cradle, Juliana Jan berkata, 28 syarikat pemula yang dipilih terdiri daripada pelbagai industri yang berjaya menyerlah potensi besar dari segi penggunaan kemajuan teknologi, inovasi model perniagaan serta solusi penyesuaian pasaran. 

 

Katanya, menerusi geran itu, ia akan menjadi penghubung untuk mereka terus membangun dan mengukuhkan produk selain mendapatkan maklum balas pasaran dan membantu dalam proses pengkomersialan serta akses kepada pasaran sebelum mendapatkan pelaburan lanjut. 

 

Beliau berkata, ia dijangka meluaskan lagi saluran dana komersial dalam ekosistem.

 

“Cradle, sebagai agensi fokal untuk ekosistem startup di peringkat awal melihat penganugerahan geran ini adalah sebagai satu langkah keyakinan dan usaha yang proaktif selari dengan aspirasi kerajaan untuk dikenali sebagai hub startup yang kompetitif. 

 

"Cradle akan terus menyokong dan memperkasa ekosistem startup tempatan dengan menyelesaikan antara masalah paling utama bagi startup di peringkat awal, iaitu pembiayaan. 

 

cradle

 

"Dengan menawarkan syarikat-syarikat ini dengan geran pembangunan, kami percaya ianya akan membantu mereka melepasi fasa” valley of death” dalam kitaran kemampanan startup kerana kami membantu mereka mempercepatkan proses pengkomersialan produk," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

CIP Spark merupakan geran pembangunan bersyarat yang menawarkan pembiayaan sehingga 18 bulan dan terbuka kepada individu, syarikat persendirian, syarikat perkongsian liabiliti terhad (LLP) dan syarikat Sendirian Berhad. 

 

CIP Sprint merupakan geran pengkomersialan boleh ubah bersyarat yang menawarkan pembiayaan sehingga 18 bulan dan terbuka kepada syarikat Sendirian Berhad, termasuk universiti dan institut kajian. - DagangNews.com