Crest Builder raih dua kontrak daripada Pembinaan Tuju Setia berjumlah RM6.5 juta | DagangNews Skip to main content

Crest Builder raih dua kontrak daripada Pembinaan Tuju Setia berjumlah RM6.5 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Crest Builder Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, CBTech (M) Sdn. Bhd. (CBTech) meraih dua kontrak daripada Pembinaan Tuju Setia Sdn. Bhd. berjumlah RM6.5 juta.

 

Kontrak itu melibatkan pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan kerja-kerja perkhidmatan perlindungan kebakaran dan perkhidmatan voltan lebihan atau kerja subkontrak.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Crest Builder, Eric Yong berkata, kontrak itu akan terus mengukuhkan cabang mekanikal dan kejuruteraan (M&E) kumpulan sebagai pusat keuntungan yang berlainan.

 

“Sejak beberapa tahun lalu, prestasi kewangan CBTech telah meningkat dengan ketara dan kami yakin usaha sama ini kelak akan menyaingi pesaing dalam segmen yang sama.

 

“Dalam pada itu, lebih daripada 80% staf dan tenaga kerja kami telah lengkap divaksinasi dan operasi kami hampir kembali kepada tahap produktiviti sebelum pandemik.

 

“Kami juga menyasarkan lebih banyak tender dalam perancangan dan berharap segmen pembinaan kami akan terus mengisi semula buku pesanan untuk terus menambah baik hasil dan keuntungan, seterusnya memberi nilai kepada pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Subkontrak yang diraih melibatkan kerja-kerja pembangunan utama bagi projek 121 Residence, sebuah pembangunan oleh Glomac Berhad yang terdiri daripada dua blok menara dengan 28 tingkat di Mukim Pekan Kayu Ara, Petaling, Selangor.

 

Secara keseluruhannya, pesanan buku kumpulan berjumlah kira-kira RM750 juta yang mampu menampung perolehan sehingga tempoh tiga tahun akan datang. - DagangNews.com