CTOS Digital bercadang laksana penempatan saham kumpul dana RM270 juta, biayai langkah pengambilalihan | DagangNews Skip to main content

CTOS Digital bercadang laksana penempatan saham kumpul dana RM270 juta, biayai langkah pengambilalihan

KUALA LUMPUR 17 Dis - CTOS Digital Bhd. bercadang untuk melaksanakan penempatan saham untuk mengumpul sehingga RM270 juta bagi membiayai cadangan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Juris Technologies Sdn. Bhd. (JurisTech).

 

Langkah itu juga bagi membiayai pemerolehan 2.25% tambahan pegangan dalam firma yang berpangkalan di Thailand, Business Online Public Company Limited (BOL), menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Cadangan penempatan itu menyaksikan terbitan sehingga 166.67 juta saham biasa baharu, mewakili 7.6% daripada jumlah saham diterbitkan setakat 31 Januari 2022.

 

"Harga terbitan akan ditentukan dan diumumkan kemudian, manakala cadangan penempatan dijangka selesai menjelang suku pertama 2022," katanya. 

 

Pada 24 Disember lalu, CTOS Digital bercadang memperoleh 49% kepentingan dalam JurisTech dengan tunai RM205.8 juta. 

 

Syarikat itu menyasarkan untuk memanfaatkan kehadiran kukuh JurisTech dalam bank dan koperasi Islam di samping membantu meningkatkan lagi penguasaan dompet CTOS Digital di bank lain di Malaysia yang menggunakan produk JurisTech sebagai penyelesaian teras.

 

Malah, ia turut menjangkakan untuk terus mendapat manfaat daripada peningkatan pegangan sahamnya dalam BOL berikutan pertumbuhan berterusan BOL dan daripada potensi sinergi menerusi rangkaian produk CTOS Digital.

 

Menurut CTOS Digital, penempatan itu membolehkan syarikat mengumpul dana diperlukan untuk digunakan bagi tujuan pengambilalihan JurisTech sebanyak RM205.8 juta manakala BOL, RM34.9 juta.

 

"Selain itu, sebanyak RM25.6 juta akan digunakan untuk membiayai pengambialihan lain yang dikenalpasti dan RM3.7 juta membabitkan anggaran perbelanjaan bagi melaksanakan penempatan saham itu," jelasnya.

 

Kumpulan menjelaskan, cadangan penempatan itu adalah langkah paling sesuai untuk mengumpul dana tambahan tanpa perlu menanggung perbelanjaan faedah atau pembayaran balik prinsipal perkhidmatan berbanding pinjaman bank konvensional, dan merupakan kaedah cepat untuk mengumpul dana daripada pasaran modal dan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan. - DagangNews.com