CTOS Digital dapat 'lampu hijau' ambil alih 49% kepentingan JurisTech | DagangNews Skip to main content

CTOS Digital dapat 'lampu hijau' ambil alih 49% kepentingan JurisTech

KUALA LUMPUR 21 Feb - CTOS Digital Bhd. memperoleh kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk mengambil alih 49% kepentingan dalam syarikat teknologi kewangan (fintech), Juris Technologies Sdn. Bhd. (JurisTech) melibatkan pertimbangan tunai RM205.8 juta. 

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Digital, Eric Hamburger berkata, pemerolehan ini selaras dengan matlamat kumpulan untuk menjadi penyedia penyelesaian pilihan kepada institusi kewangan, menyediakan data kredit terbaik, penyelesaian perisian dan perkhidmatan analitik.

 

Katanya, ia juga akan meningkatkan keupayaan kumpulan untuk memenuhi pasaran pelanggan baharu muncul menerusi bank digital, peer-to-peer, beli sekarang bayar kemudian dan penyedia pinjaman mikro/bayar pada hari gaji.

 

"Dengan pengambilalihan yang dijadualkan selesai pada suku pertama 2022, sumbangan baharu daripada JurisTech dijangka melengkapkan pertumbuhan organik CTOS Digital dalam segmen sedia ada kami, selain berusaha memenuhi permintaan terpendam berikutan pembukaan semula sektor ekonomi sejak suku keempat 2021. Oleh itu, kami optimis dengan prospek CTOS Digital pada masa hadapan.

 

"Kami pastinya gembira dengan undian keyakinan daripada pemegang saham, ketika kami memulakan langkah pertambahan nilai ini untuk membawa cadangan penyelesaian pinjaman digital hujung ke hujung yang lebih kukuh ke pasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketika EGM itu juga, pemegang saham meluluskan cadangan penempatan terbitan 166.7 juta saham baharu, yang merangkumi hampir 7.6% daripsda jumlah terbitan saham CTOS Digital.

 

Jumlah penempatan saham itu hanya akan ditentukan dan diumumkan kemudian selepas menerima semua kelulusan berkaitan.

 

Berdasarkan harga ilustrasi RM1.62 setiap satu, penempatan itu berpotensi meningkatkan hasil sehingga RM270 juta untuk membiayai pengambilalihan 49% kepentingan dalam JurisTech, tambahan 2.25% pegangan ekuiti dalam Business Online Public Company Limited (BOL), pengambilalihan lain yang akan dikenal pasti, dan untuk membiayai perbelanjaan penempatan.

 

Pada 24 Disember lalu, CTOS Digital telah memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan Natsoft (M) Sdn. Bhd., syarikat induk yang dikawal oleh pengasas JurisTech, untuk cadangan pengambilalihan tersebut.

 

JurisTech mempunyai kedudukan pasaran yang kukuh di Malaysia, dengan kehadiran di negara-negara seperti Singapura, Australia, Emiriah Arab Bersatu dan Brunei. - DagangNews.com