CTOS kesan 335,000 kebocoran maklumat peribadi daripada 58,000 pengguna di Malaysia | DagangNews Skip to main content

CTOS kesan 335,000 kebocoran maklumat peribadi daripada 58,000 pengguna di Malaysia

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS), menerusi statistik daripada CTOS SecureID mengesan 335,000 maklumat peribadi yang boleh dikenali (PII) di laman web gelap daripada 58,000 pengguna sejak tiga tahun lalu.

 

CTOS SecureID sentiasa memantau laman web gelap dan memberi amaran kepada pengguna apabila maklumat sepadan ditemui.

 

Maklumat yang dikesan membabitkan butiran kad kredit dan kad debit, maklumat pasport, alamat e-mel, dan nombor telefon.

 

Dengan ekonomi digital semakin memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia, pengguna semakin terbabit dalam urus niaga dalam talian dan terdedah kepada ancaman digital.

 

Dalam setahun yang lalu, Malaysia telah menyaksikan beberapa kebocoran data penting dalam sektor telekomunikasi, penyiaran, perbankan, penerbangan dan perdagangan elektronik, yang telah memberi kesan buruk kepada jutaan pelanggan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Bhd, Erick Hamburger berkata, CTOS SecureID memperkasakan individu dengan alat dan pengetahuan yang diperlukan untuk melindungi maklumat peribadi dan kewangan mereka.

 

"Kami mempunyai komitmen yang kukuh terhadap keselamatan data dan perlindungan identiti, dan kami memanfaatkan teknologi terkini dan amalan terbaik untuk memastikan pengguna mempunyai akses kepada perkhidmatan keselamatan digital yang terbaik," katanya dalam kenyataan media, di sini.

 

Bagi membantu orang ramai menentang ancaman ini, CTOS SecureID adalah perkhidmatan perlindungan penipuan dan pemantauan kredit yang bertujuan melindungi pengguna daripada pencurian identiti, penipuan, dan kejadian penipuan atau 'scam'.

 

Dilancarkan pada 2021, ciri pemantauan laman web gelap CTOS SecureID mengimbas lebih daripada 1.4 bilion rekod kebocoran data untuk mengesan sebarang maklumat peribadi yang bocor.

 

Penggunaan CTOS SecureID membolehkan pelanggan memantau dan melindungi maklumat peribadi serta kewangan mereka.

 

Justeru, dengan memantau fail kredit aktif pelanggan dan memberi amaran kepada mereka mengenai sebarang perubahan, perkhidmatan ini dapat memberikan amaran awal mengenai sebarang masalah yang mungkin timbul dengan kredit mereka.

 

Pelanggan kemudian boleh mengambil tindakan yang seterusnya untuk menangani kebocoran data itu, seperti menukar kata laluan atau menutup akaun tertentu.

 

Dengan CTOS SecureID, pengguna boleh berasa yakin bahawa mereka mempunyai pengetahuan dan alat yang betul untuk membuat keputusan bermaklumat untuk melindungi maklumat serta privasi data mereka.

 

Ia penting untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk melindungi diri dan perniagaan daripada menjadi mangsa jenayah siber. - DagangNews.com