Cuaca panas melampau dijangka sebabkan harga sayur naik - UPM | DagangNews Skip to main content

Cuaca panas melampau dijangka sebabkan harga sayur naik - UPM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun - Perubahan iklim dengan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini dijangka menyebabkan harga hasil pertanian seperti sayur-sayuran melambung tinggi di pasaran.

 

Dr Juju Nakasha Jaafar dari Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, ia berikutan hasil tanaman akan berkurangan ketika musim panas.

 

Malah katanya, sekiranya keadaan semakin tidak terkawal, pengusaha atau petani perlu menyembur racun perosak atau racun penyakit dengan lebih kerap berbanding sebelum ini, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran tanaman.

 

"Tanaman seperti sayuran khasnya dan herba turut menunjukkan kepada kita seperti 'sedang berperang' dengan cuaca panas. Kebanyakan jenis sayur-sayuran dan herba tidak suka  keadaan panas melampau ini. 

 

"Ada tanaman yang sudah mula menggugurkan daun-daunnya bagi mengurangkan kadar kehilangan air di dalam ‘badan’ tanaman tersebut. Ada juga yang memperlahankan pertumbuhannya, menggulungkan daun dan daun baru yang dikeluarkan bersaiz lebih kecil berbanding sebelum cuaca panas. 

 

"Lebih teruk, ada juga yang menjadi lemah seterusnya sistem ketahanan tanaman tersebut tidak mampu untuk melawan penyakit yang datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Juju berkata, bagi membantu tanaman berkenaan, mereka perlu melakukan penyiraman lebih kerap dan memberikan baja daun atau penggalak bagi memperkuatkan mekanisme pertahanan di dalam tanaman.

 

Katanya, sungkupan daripada sabut kelapa, daun-daun kering, habuk kayu atau plastik penutup batas (silvershine) juga boleh digunakan bagi tujuan tersebut. 

 

"Ia hendaklah diletakkan di sekeliling tanaman dan sekiranya menggunakan sungkupan sabut kelapa, yang mana tidak terlalu tebal kerana akan menjadi tempat tinggal kepada perosak," katanya.

 

Dalam pada itu beliau berkata, antara tanaman yang sesuai ditanam semasa cuaca ketika ini adalah bendi, terung, timun, kubis kerinting dan cili benggala. 

 

Oleh itu katanya, penjagaan yang lebih rapi perlu diberikan kepada cili kulai dan cili padi terutamanya pada musim panas ini. Ini kerana perosak tumbuhan juga sangat aktif ketika musim panas. 

 

"Bagi tanaman di bawah tanah pula, keledek dan ubi bit merah adalah sesuai ditanam pada musim panas ini. Walaupun tanaman-tanaman tersebut sesuai ditanam pada musim panas ini, kita masih perlu memberikan air yang cukup. 

 

"Cuma, tanaman-tanaman tersebut mempunyai ketahanan yang lebih berbanding tanaman-tanaman lain seperti sawi, bayam, bayam brazil dan salad," katanya.

 

Tambahnya, sekiranya mereka tetap ingin menanam sayur-sayuran yang tidak tahan panas, mereka tetap boleh meneruskannya, namun perlu bersedia dengan hasil lebih rendah dan kos pengeluaran yang lebih tinggi. - DagangNews.com