Cukai eksport minyak sawit mentah Januari 2021 ditetapkan 8% - Jabatan Kastam | DagangNews Skip to main content

Cukai eksport minyak sawit mentah Januari 2021 ditetapkan 8% - Jabatan Kastam

 

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Malaysia menetapkan cukai eksport bagi minyak sawit mentah (MSM) pada kadar 8% memasuki Januari tahun hadapan. 

 

Kadar baharu itu diumumkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

“Kadar duti eksport 8% ini ditetapkan selepas harga pasaran MSM mencecah RM3,450 setiap tan metrik dan ke atas. 

 

“Kadar ini akan berkuat kuasa mulai 1 sehingga 31 Januari 2021, menandakan berakhirnya cukai eksport sifar yang dilaksanakan dari Jun hingga Disember 2020, bertujuan meningkatkan nilai eksport sawit Malaysia ke negara lain, terutamanya India,” kata JKDM.

 

Dalam masa sama, pengecualian duti eksport itu juga bertujuan menyokong industri komoditi sebagai sebahagian daripada keseluruhan usaha untuk merangsang ekonomi ketika penularan pandemik COVID-19. 

 

Pada penutup dagangan semalam, kontrak niaga hadapan MSM bagi Januari, Februari, Mac dan April berlegar antara paras RM3,320 dan RM3,646 setiap tan metrik, menurut laporan Bernama.

 

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan susut RM20 kepada RM3,660 setiap tan metrik.

 

Penganalisis perladangan mengunjurkan paras sokongan pada RM3,350 dan paras ketahanan pada RM3,520 setiap tan metrik. - DagangNews.com