Cukai Makmur pengaruhi prospek keuntungan bank bagi 2022 yang diunjur meningkat 3.1% | DagangNews Skip to main content

Cukai Makmur pengaruhi prospek keuntungan bank bagi 2022 yang diunjur meningkat 3.1%

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Sept - CGS-CIMB mengunjurkan bank akan merekodkan pertumbuhan keuntungan bersih teras sekitar 3.1% tahun ini dipacu pendapatan faedah bersih (NIM) yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, unjuran itu adalah lebih rendah berbanding 4.1% yang diunjurkannya sebelum ini berikutan laporan musim kewangan suku kedua. 

 

Menurut penganalisisnya, Winson Ng, semakan itu mengambil kira pertumbuhan NIM yang lebih tinggi sebanyak 8.6% disebabkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dan unjuran pertumbuhan pinjaman antara 5% hingga 6%. 

 

Selain itu, katanya, ia turut dipengaruhi peruntukan kerugian pinjaman yang mencatat penurunan sebanyak 25%. 

 

"Kami juga mengunjurkan NIM akan meningkat sedikit sebanyak 1.7% tahun ini berbanding penurunan 13.8% pada 2021. 

 

"Namun, kesan positif ini sebahagiannya akan diimbangi oleh perbelanjaan tambahan cukai terutamanya Cukai Makmur, yang dijangka mengurangkan keuntungan bersih teras sebanyak 8% (RM1.92 bilion)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, beliau mengunjurkan bank akan mencatat keuntungan bersih teras antara 6% hingga 7% tahun ke tahun pada separuh kedua ini berbanding prestasi mendatar pada separuh pertama melibatkan bank di bawah liputannya.

 

Pertumbuhan itu dipacu pengembangan berterusan NIM dan pendapatan bukan faedah yang dijangka kembali pulih. 

 

Pada suku kedua, CGS-CIMB mendapati lima daripada lapan bank di bawah liputannya merekodkan prestasi kewangan yang memenuhi jangkaannya.

 

Bagaimanapun, keputusan kewangan pada suku berkenaan dilihat masih di bawah jangkaan pasaran kerana empat bank mencatatkan pendapatan yang lebih rendah daripada jangkaan (berbanding anggaran konsensus Bloomberg), berbanding dua memenuhi jangkaan dan dua mengatasi jangkaan.

 

Namun, secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan dengan pilihan utamanya ialah RHB Bank Bhd., Hong Leong Bank Bhd. dan Public Bank Bhd. - DagangNews.com