Daerah baharu di Melaka bakal pacu pertumbuhan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Daerah baharu di Melaka bakal pacu pertumbuhan ekonomi

Daerah baharu di Melaka

KUALA LUMPUR 2 April - Cadangan pembentukan dan penubuhan sebuah daerah baharu di Melaka dilihat berpotensi menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur di kawasan pinggir bandar negeri berkenaan.

 

Daerah baharu yang dikenali sebagai Daerah Masjid Tanah itu bakal mempercepat perancangan kerajaan negeri bagi pembangunan terancang di sekitar kawasan tersebut sekiranya mendapat kelulusan jemaah menteri.

 

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pelbagai pelan perancangan pembangunan termasuk projek berimpak tinggi sedang dan akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.

 

"Penubuhan daerah Masjid Tanah ini mampu menjadi peneraju dan menarik pelbagai pelaburan bagi membangunkan kawasan ini sehinggakan ada projek berimpak tinggi yang kini sedang dan akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.

 

"Antara pembangunan lain yang direncanakan adalah Koridor Perindustrian Pantai Barat, Pembangunan Kawasan Lembag Tinggi, Pembangunan Pelancongan Tanjung Tuan serta Projek Lebuh Raya Pesisir dalam RMK ke-12 yang akan melalui kawasan Kuala Linggi-Masjid Tanah.

 

"Selain itu, Rancangan Fizikal Negara Ketiga (RFN3) telah mengangkat kawasan Kuala Linggi sebagai pusat katalis yang memberi fokus utama dalam aspek terminal maritim dan pusat tarikan pelancongan," katanya seperti dilapor Melaka Hari Ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Pejabat Operasi Masjid Tanah yang dirasmikan beliau hari ini adalah penting dalam usaha memastikan perkhidmatan yang lebih baik dan terus kepada seramai 215,000 penduduk di daerah berkenaan.

 

Ujarnya, ia juga berpotensi menarik pelanggan selain memberi keyakinan kepada pelaburan dalam dan luar negeri bagi mengembangkan kawasan berkenaan dengan pelbagai bidang khususnya pelancongan, perindustrian, pertanian dan pelabuhan.

 

"Pembentukan daerah ini adalah untuk memastikan perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, mempercepatkan pelaksanaan projek yang dirancang terutamanya projek mega yang akan dibangunkan di kawasan ini.

 

"Pembentukan kawasan ini juga memberi fokus kepada pelbagai peruntukan projek kecil lain melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar pembangunan daerah ini mampu dibangunkan dengan seimbang," ujar beliau lagi. - DagangNews.com