Dagangan Malaysia naik 8.7% kepada RM237.8 bilion pada Jun 2024, eksport bertambah 1.7% - DOSM | DagangNews Skip to main content

Dagangan Malaysia naik 8.7% kepada RM237.8 bilion pada Jun 2024, eksport bertambah 1.7% - DOSM

Eksport dan import Malaysia meningkat pada Jun 2024, lapor DOSM. -Gambar hiasan PTP MMC
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Julai - Jumlah dagangan Malaysia pada Jun 2024 menunjukkan peningkatan 8.7% kepada RM237.8 billion daripada RM218.8 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan import 17.8%, mencecah RM111.8 bilion dan eksport 1.7%, bernilai RM126 bilion pada Jun 2024.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, prestasi eksport Malaysia meningkat pada Jun 2024 seiring dengan peningkatan eksport domestik, menyumbang 79.7% kepada jumlah eksport, meningkat 7.1% kepada RM100.4 bilion. 

 

Kata beliau, sebaliknya, eksport semula turun 15.1% berbanding Jun 2023, bernilai RM25.6 bilion, menyumbang 20.3% kepada jumlah eksport. 

 

"Sementara itu, import bernilai RM111.8 bilion, meningkat 17.8%. Lebihan dagangan menurun 50.8% kepada RM14.3 bilion, mencatatkan lebihan bulan ke-50 berturut-turut sejak Mei 2020.

 

"Berbanding Mei 2024, eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing mencatatkan penurunan 1.6%, 5.4% dan 3.4% manakala, imbangan dagangan meningkat 43.6%," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

dosm

 

Melihat dari sudut kumpulan barangan, 137 daripada 258 kumpulan eksport dan 160 daripada 259 kumpulan import menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, kata DOSM.

 

Ketua Perangkawan Malaysia turut menekankan bahawa eksport yang lebih tinggi disumbangkan oleh kenaikan terutamanya ke Taiwan (+RM2.2 bilion), diikuti oleh Amerika Syarikat (+RM1.9 bilion), Thailand (+RM1.3 bilion), Viet Nam (+RM623.1 juta), India (+RM404.8 juta), Mexico (+RM277.0 juta), American Samoa (+RM216.2 juta), Kanada (+RM214.8 juta) dan Arab Saudi (+RM203.0 juta). 

 

Katanya, selain itu, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya dari China (+RM5.6 bilion), diikuti oleh Amerika Syarikat (+RM2.6 bilion), Taiwan (+RM2.1 bilion), Singapura (+RM2.0 bilion), Republik Korea (+RM1.3 bilion), Emiriah Arab Bersatu (+RM1.3 bilion), Kesatuan Eropah (+RM956.7 juta), Brazil (+RM777.5 juta) dan Argentina (+RM543.9 juta).

 

"Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, kenaikan ini sejajar dengan peningkatan dalam jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.1 bilion); barangan perkilangan lain (+RM941.1 juta); gas asli cecair (+RM877.8 juta); produk perkilangan berasaskan minyak sawit (+RM461.5 juta); keluaran getah (+RM335.8 juta); dan barangan optik
& saintifik (+RM315.8 juta).

 

"Tambahan pula, peningkatan import dicatatkan untuk barangan elektrik & elektronik (+RM8.9 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.9 bilion); petroleum mentah (+RM1.6 bilion); pertanian lain (+RM829.6 juta); keluaran petroleum (+RM760.5 juta); dan gas asli cecair (+RM459.5 juta)," ujarnya.

 

uzir
DR MOHD UZIR MAHIDIN

 

Selanjutnya, Ketua Perangkawan Malaysia juga memaklumkan pertambahan import mengikut Penggunaan Akhir adalah seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.

 

"Import barang perantaraan (54.4% daripada jumlah import), bernilai RM60.8 bilion, mencatatkan peningkatan 37.2% atau RM16.5 bilion berbanding Jun 2023.

 

"Barangan modal bernilai RM12.0 bilion, meningkat 23.5 peratus, mewakili 10.7% daripada jumlah import. 

 

"Barangan penggunaan (8.3% daripada jumlah import), meningkat 13.5 peratus daripada RM8.2 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM9.2 billion," katanya.

 

Dr Mod Uzir berkata, jumlah dagangan, eksport dan import bagi tempoh Januari hingga Jun 2024 mencatatkan peningkatan. 

 

Katanya, jumlah dagangan meningkat 8.4 peratus, daripada RM1.3 trilion kepada RM1.4 trilion, sejajar dengan peningkatan dalam eksport (+3.9%) serta import (+13.8%). Sebaliknya, lebihan dagangan berkurang 44.5% mencatatkan nilai RM66.1 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2023.

 

"Prestasi bagi suku kedua 2024, jumlah dagangan, eksport dan import mengalami peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun lepas. 

 

"Prestasi ekonomi yang memberangsangkan membawa kepada peningkatan 10.0 peratus dalam jumlah dagangan, sejajar dengan peningkatan dalam eksport (+5.8%) dan import (+15.0%).

 

"Sebaliknya, lebihan dagangan berjumlah RM32.0 bilion, menurun 42.7% berbanding tempoh yang sama pada 2023," jelasnya.- DagangNews.com